komentar Isu hukuman sebat kepada
pesalah minum arak telah menarik perhatian pelbagai pihak untuk
memberikan pandangan dan komen masing-masing.
Hukuman yang
dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen
Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh
dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (pindaan 1987) sebenarnya masih
tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.
Di bawah
hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum
hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan hadis
Rasulullah SAW.
Apabila asasnya adalah nas, maka ia adalah aspek
agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya – kerana
ia berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara
dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat.
Jika bersandarkan
kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam
setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 hingga 80 rotan
jumlahnya.
Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara
sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat
berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam, kerana mengikut Islam
sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain
dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup
aurat.
Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana,
antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat
sehingga menampakkan ketiak.
Sebatan juga tidak boleh sampai
mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan
bukannya pada satu tempat sahaja.
Dalam Islam, hukuman ini bukan
bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta
mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu
lagi.
Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan
hukuman dalam undang-undang Islam. Ia memerlukan pindaan supaya proses
undang-undang Islam yang adil dapat dilaksanakan.
Oleh yang
demikian, kita meminta supaya pihak berkuasa tidak gopoh dalam
pelaksanaan itu sehingga memberi gambaran salah mengikut syariat Islam.
Dalam masa yang sama kita berharap supaya wanita yang disabitkan itu bertaubat kerana Allah Maha Pengampun dan Penyayang.
Apa
yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya
secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam. Masyarakat
dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram
di sisi agama Islam.
Haramnya arak adalah tidak mengira tempat – sama ada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri.
Menjalankan
hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya – adalah
seumpama menghadapi nyamuk Aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi
longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat
pembiakan nyamuk yang membawa denggi!
Artikel ini diterbitkan sepenuhnya daripada kenyataan media Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan