ALOR SETAR, 7 Februari: Misteri barang-barang milik bekas Perdana Menteri YTM Tunku Abdul Rahman Putra yang tersimpan dalam peti besi terjawab akhirnya apabila peti tersebut dibuka oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan YB Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim di Pameran Bergerak Koleksi Khas Perdana Menteri Malaysia Pertama di Rumah Merdeka, Jalan Putra.
Peti besi ini pernah digunakan Almarhum ketika menjadi Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu sebelum menjadi Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1956 hingga 1970.
Sejak dipamerkan orang ramai hanya melihat bentuk fizikal peti besi itu dari luar sahaja kerana usaha membukanya gagal, sehinggalah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan YB Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim berjaya membukanya dengan bantuan kepakaran dari syarikat peti keselamatan Chubb (Malaysia) Sdn Bhd.
Terdapat 46 koleksi berharga yang terdiri daripada satu set butang baju, empat belas bilah gunting, jam tangan, sebatang pen, sebuah kotak emas, lapan anak kunci, sebuah loket, replika pendayung sampan, pin tali leher, dua buah plak, sebelas plat, replika penyudip simen dan dua keping duit syiling.
Arkib Negara telah mendaftar, meninventori dan merekodkan data-data komposisi bahan yang terkandung dalam koleksi berkenaan dengan bantuan kepakaran Jabatan Muzium Malaysia.
Pameran bergerak ini bertujuan untuk mengingatkan kembali jasa Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra bukan sahaja sebagai Perdana Menteri Malaysia tetapi seorang pejuang kemerdekaan kepada generasi muda hari ini terutama para pelajar sekolah rendah dan menengah.
Pameran ini dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Utama Dr Rais di Rumah Merdeka dan turut hadir Tengku Ahmad Nerang Tengku Abd Rahman Putra dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Dato’ Haji Sidek Haji Jamil dan ketua-ketua jabatan serta Sahabat-Sahabat Arkib Kedah Darul Aman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan