Firman Allah subhanahu wa taala,
ءَامِنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَأَنفِقُواْ مِمَّا
جَعَلَكُم مُّسۡتَخۡلَفِينَ فِيهِۖ فَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَأَنفَقُواْ
لَهُمۡ أَجۡرٌ۬ كَبِيرٌ
" Maksudnya, ”Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda, yang mana Allah telah menjadikan kamu sebagai wakil dalam menguasai dan menguruskannya. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu, serta membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah), mereka tetap beroleh pahala yang besar.”
(Surah
al-Hadid, ayat 7)
Alhamdulillah, bermula dengan belanjawan
sejahtera tahun 2007, pihak Kerajaan Negeri telah
memulakan program Takaful Warga Emas Kifalah. Permulaannya, pihak Kerajaan
Negeri memperuntukkan sebanyak tiga juta ringgit (RM3 juta) untuk membiayai
caruman kepada wasi. Dan terdapat kira-kira seratus empat puluh ribu (140,000)
orang warga emas yang layak.
Pendekatan yang diambil, adalah wakil rakyat dan penghulu
hendaklah terlibat aktif untuk mendaftar semua warga emas tersebut, tanpa
mengira kaum dan fahaman parti politik. Sasarannya adalah semua warga emas
hendaklah didaftarkan ke dalam skim ini. Dengan harapan, sejumlah sumbangan
daripada pihak kerajaan negeri dapat disalurkan kepada keluarga atau wasi bagi
warga emas selapas kematian.
Sehubungan itu, skim takaful kifalah ini adalah tidak sama dengan
skim takaful merdeka yang dianjur oleh satu pihak yang boleh disifatkan sebagai
hangat-hangat tahi ayam, bermusim dan berniat memancing undi.
Oleh itu, pelan sumbangan yang kita perkenalkan ini adalah
meletakkan harapan besar kepada penghulu untuk mendaftar warga emas dan pihak
wakil rakyat sendiri boleh hadir menyumbang pendahuluan pada hari berlaku
kematian. Selepas pihak pengurusan skim kifalah melunaskan baki, maka baki itu
hendaklah terus disampaikan kepada wasi warga emas tersebut.
Untuk tempoh 2009 dan 2010 ini, pihak
Kerajaan Negeri telah memperuntukkan cara penyampaian
sumbangan secara serentak di peringkat negeri kepada semua wasi bagi warga emas
berdaftar dan telah meninggal dunia. Ia melibatkan sumbangan daripada Kerajaan
Negeri berjumlah RM4,080,000 (empat juta lapan puluh ribu ringgit) yang akan
disumbangkan kepada 2,040 (dua ribu empat puluh) orang wasi dari semua 45 dewan
undangan negeri di Kelantan. Ini bermakna setiap orang akan menerima sekeping
cek bernilai RM 2,000 (dua ribu ringgit) seorang.
Apapun, sumbangan dua ribu ini, bukanlah harga sebenar kepada
suatu kematian. Cuma ia suatu kaedah pendekatan berkebajikan Kerajaan Kepimpinan
Ulamak yang meletakkan dasar Membangun Bersama Islam yang amat prihatin dalam
aspek kebajikan rakyat. Ia sebagai bukti Kelantan adalah negeri
berkebajikan.
Tinggal lagi, pelbagai tohmahan negatif orang terhadap Kerajaan Negeri; Kelantan dikatakan
tiada pembangunan, tidak buat apa yang kita janjikan. Maka, majlis penyampaian
peringkat negeri diadakan adalah hakikat pentadbiran Kepimpinan Ulamak Negeri
Kelantan adalah sedia menunaikan amanah rakyat.
Cuma ada pihak yang kebelakangan ini yang tidak ingin memberi hak
rakyat. Namun, Kerajaan Negeri tetap mengutamakan kepentingan rakyat. Maka, atas
dasar hak rakyat itulah kita bertegas dalam tuntutan royalti minyak. Kerana
royalti itu adalah hak semua rakyat. Kalaulah pihak Petronas dan Kerajaan Pusat
menunaikan janji, menyalur wang royalti kepada kerajaan Negeri, sudah pasti
jumlah skim kifalah yang ada sekarang boleh ditambah, bukan dua ribu, boleh jadi
lebih besar lagi. InsyaAllah.
Sama-samalah kita berdoa, agar Allah Subhanahu wa taala membuka
pintu hati pihak-pihak yang cuba menyekat niat suci Kerajaan Negeri ini.
Apa yang penting kita kembali kepada asas mentadbir negeri dengan
adil dan menunaikan hak rakyat. Seperti firman Allah Subhanahu wa taala:
۞ إِنَّ
ٱللَّهَ يَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَـٰنِ وَإِيتَآىِٕ ذِى ٱلۡقُرۡبَىٰ
وَيَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنڪَرِ وَٱلۡبَغۡىِ يَعِظُكُمۡ لَعَلَّڪُمۡ
تَذَكَّرُونَ ۚ
(surah an-Nahli ayat 90)
Dan sabda Nabi SAW pula, bermaksud, “Barang siapa yang ada kelebihan tunggangan, maka hendaklah
membantu yang tiada dan barang siapa yang mempunyai bekalan lebih, maka
hendaklah membantu yang tidak punya bekal”
Semoga majlis penyampaian sumbangan kifalah dapat memenuhi
sebahagian tanggungjawab Kerajaan Negeri di dalam menguruskan amanah pentadbiran
kepada rakyat Negeri Kelantan. Sama-sama kita doakan agar rakyat di Negeri ini
dilimpahi rezeki yang melimpah ruah agar ketakwaan berdiri kukuh di dalam dada
setiap orang kalangan kita.
sumber : http://www.blogtokguru.com/pages/posting/34/sumbangan-kifalah-bukti-kelantan-negeri-berkebajikan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan