Penyelia Pasar Tani Guar Chempedak, Muhamad Zaidi Hussain berkata, majlis berkenaan bertujuan memberi pendedahan mengenai pengurusan akaun kepada peserta.
“Oleh itu kita menjemput pegawai yang berkaitan dari Pejabat Fama negeri Kedah untuk memberi kursus mengenai Penyediaan Buku Akaun,” katanya.
Seorang peserta, Uzalli Ahmad melahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada Fama kerana dengan adanya kursus seperti ini, peserta baru sepertinya dapat menambah ilmu.
“Saya berasa bertuah kerana dapat mempelajari ilmu baru dari segi penyediaan buku akaun seperti menyediakan invois belian, invois jualan, penyata si berhutang dan lain-lain lagi.
“Proses pembelajaran ini secara tidak langsung dapat membantu saya mengenal pasti berapa kos yang dikeluarkan dan berapa keuntungan yang diperoleh selama seharian berniaga,” katanya.
Pengerusi Peserta Pasar Tani berkenaan, Mansor Awang, berkata selain berniaga, pihak Fama juga memberi peluang kepada mereka untuk menambah ilmu pengetahuan dalam bidang yang diceburi.
Pihak Pengurusan Kompleks Pasar Tani Guar Chempedak juga memberi peluang kepada peserta mengeluarkan cadangan serta pendapat demi menambah baik operasi jualan di sini.
Rata-rata peserta yang ditemui melahirkan rasa puas hati kerana segala masalah yang dihadapi oleh mereka selama ini mendapat perhatian dari pihak Fama, khasnya Pihak Pengurusan Pasar Tani Guar Chempedak dan mereka berazam untuk bersama-sama menjadikan Pasar Tani Guar Chempedak sebagai pasar pilihan ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan