Untuk Aljazira Tv klik webtv

Muslimat Pas ziarah sempena Tahun Baru


BUKIT PINANG - Perbezaan agama dan kaum bukan faktor halangan kepada masyarakat majmuk di negara ini untuk melawat dan menziarahi antara satu sama lain.

Majlis Tindakan Dun (MTD) Muslimat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang juga turut meleraikan belenggu minda masyarakat majmuk di kawasan itu apabila turut mengadakan Program Ziarah Sempena Tahun Baru Cina di sekitar kawasan Pekan Bukit Pinang.

Ketua Dewan Muslimat Pas Cawangan Pekan Bukit Pinang, Jamilah Basri berkata, aktiviti ziarah seperti ini bukan baru bagi Dewan Muslimat Pekan Bukit Pinang malah telah dilakukan sejak dahulu lagi.

Menurutnya, sempena kedatangan Tahun Baru Cina, pihaknya berasa terpanggil untuk terus mengadakan kunjungan ke rumah golongan sasaran masyarakat Cina seperti ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga miskin.

“Kunjungan yang dilakukan ini membuktikan bahawa Pas tidak pernah membeza-bezakan agama dan apabila duduk dalam komuniti masyarakat majmuk, pihak kami mengambil berat semua kaum tanpa mengira agama dan adat.

“Ziarah ini juga bertujuan untuk menyampaikan sumbangan dan duit raya kepada golongan sasaran agar sumbangan seperti ini mampu menceriakan kedatangan sambutan Tahun Baru Cina,” katanya kepada Sinar Harian.

Turut menyertai rombongan itu ialah isteri Ahli Parlimen Pokok Sena, Datin Ruswati Jaafar dan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang, Datin Hasnah Saad.

Seorang penerima yang juga seorang ibu tunggal, Tan Suan, 48, berkata, dia terharu dengan kunjungan rombongan Muslimat Pas Cawangan Pekan Bukit Pinang yang menziarahi mereka sekeluarga.

Suan yang kehilangan suaminya yang terlibat dalam satu kemalangan lima tahun lepas kini hanya bergantung harap kepada anak tunggalnya, Ooi Lai Tiak, 24, yang bekerja sebagai tukang kimpal besi berhampiran rumah mereka.

“Saya berasa gembira dan berterima kasih kerana masih ada lagi pemimpin masyarakat yang turun padang melawat kami dan menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baru Cina,” katanya.

Suan juga bersyukur dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas bantuan saraan bulanan sebanyak RM150 dan dengan bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat menampung pendapatan yang diperoleh Lai Tiak pada setiap bulan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan