Industri perfileman di Malaysia dikatakan masih gagal dalam
menghasilkan karya yang mampu menerapkan unsur-unsur Islam untuk
menyampaikan dakwah kepada masyarakat secara lebih berkesan.
Penulis novel popular, Ayat-ayat Cinta yang
berasal dari Indonesia, Habiburrahman el-Shirazy, berpendapat pembikin
filem di negara ini masih tidak berani untuk menonjolkan seni Islam dan
amalannya dalam karya mereka menyebabkan mereka ketinggalan berbanding
hasil dari negara jiran itu.
Beliau berkata apa yang paling
penting adalah niat dan masyarakat semestinya akan melihat hasil dan
ini semua bergantung kepada penulis itu sendiri.
"Malah, di
Malaysia mereka masih tidak berani menaikkan nilai dan imej-imej Islam
dengan lebih mendalam dan contoh yang paling mudah ialah seperti
aktiviti keagamaan di dalam masjid.
"Tetapi di Indonesia, kita
mengangkat masjid sebagai nilai Islam dan kalau ada nilai, kena ada
simbolnya iaitu masjid itu sendiri. Ini yang kita buat untuk masyarakat
di sana ," katanya ketika ditemui semasa program 'Hari Hiburan Islam'
di Kota Bharu hari ini.
Siri itu turut diselitkan dengan rancangan bicara selebriti dan tayangan filem Ketika Cinta Bertasbih yang diadaptasi daripada novel terbaru beliau.
Habiburrahman, 34, terkenal dengan nama penanya Kang Abik. Beliau turut
dikenali sebagai pendakwah, novelis dan penyair lulusan Universiti
Al-Azhar, Mesir.
Menurutnya, sepanjang tiga tahun lepas filem-filem yang berunsurkan dakwah seperti Ayat-ayat Cinta (2004), Ketika Cinta Bertasbih (2007) yang diadaptasi daripada novel beliau serta Laskar Pelangi mendapat sambutan luar biasa dan paling ramai ditonton oleh masyarakat republik itu.
Ini kerana, katanya filem tersebut menyentuh secara langsung kehidupan
masyarakat di negara itu yang majoritinya menganut agama Islam.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan filem di Malaysia, beliau berkata
kebanyakan penghasilnya mempunyai garapan yang baik tetapi dari segi
idea dan tema masih kurang memberangsangkan.
"Saya merasa di
Malaysia ia juga mendapat sambutan yang luar biasa. Cerita yang Islamik
kalau kita tulis dengan kaedah yang baik maka akan dapat sambutan.
"Selain penggarapan, kematangan dan pemilihan idea perlu tetapi di sini
ada penulis garapan bagus tapi ideanya tidak sesuai dengan masyarakat.
Apa yang dikehendaki oleh masyarakat tidak ditampilkan sedangkan
seorang sasterawan itu harus berinteraksi dengan masyarakat.
"Kalau orang haus kita kena bagi minum bukan bagi keropok. Macam mana
sedap pun dia tidak akan ambil kerana apa yang dimahukan adalah
minuman," katanya berfalsafah.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan