Seorang peniaga kain maut manakala tiga yang lain cedera parah selepas
van dengan muatan kain yang dinaiki mereka terbabas ke lorong motosikal
di km 29.9 Lebuh Raya Persekutuan akibat dirempuh sebuah kereta pagi
ini.
Dalam insiden pukul 7 pagi yang meragut nyawa Azimah Alih
itu, kenderaan Toyota Liteace yang dinaiki mereka telah terbabas hingga
melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di lorong motosikal kerana
dirempuh sebuah kereta Proton Saga yang hilang kawalan akibat pemanduan
laju.
Kesemua mangsa tersepit di dalam kenderaan itu dan
Azimah, 47, yang duduk di sebelah tempat pemandu mati di tempat
kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan perut.
Azimah
dari Selayang Baru, Batu Caves dan suaminya yang memandu kenderaan itu
serta dua lagi penumpang dikatakan dalam perjalanan untuk berniaga kain
di pasar minggu di Taman Medan, Petaling Jaya.
Ketua Bahagian
Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supt Che Hussin Omar yang
mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi hari ini berkata pemandu
kereta Proton Saga itu yang bertindak melarikan diri dari tempat
kejadian selepas kemalangan, telah ditahan polis.
Katanya lelaki
berusia 29 tahun itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta
Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kecuaian menyebabkan kematian.
Mayat mangsa yang tersempit terpaksa dikeluarkan oleh sepasukan anggota
bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7 Petaling Jaya yang
mengambil masa kira-kira 15 minit.
Mayat Azimah di hantar ke
Pusat Perubatan Universiti Malaya, manakala suami dan dua lagi
penumpang yang cedera parah iaitu seorang lelaki serta wanita dirawat
di pusat perubatan yang sama.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan