Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan tetapkan 10 Mac untuk
mendengar hujah tiga responden dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung
permohonan ketua umum PKR itu untuk mendakwa bekas pembantunya, Mohd
Saiful Bukhari Azlan atas kesalahan qazaf atau tuduhan palsu berhubung
kes liwat yang dihadapinya.
Hakim Mohd Shukor Sabudin menetapkan demikian selepas mendengar hujah peguam kedua belah pihak di mahkamah pagi ini.
Keputusan penangguhan tersebut dibuat kerana peguam Anwar memerlukan masa untuk menjawab afidavit tiga responden tersebut.
Tiga
responden yang dinamakan dalam permohonannya Anwar ialah ketua pendakwa
syarie, Shamsuddin Hussain; pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.
Tarikh tersebut dipersetujui bersama oleh kedua belah pihak.
Kesemua
responden tersebut diwakili tiga peguam, termasuk Zainul Rijal Abu
Bakar manakala Anwar pula diwakili lima peguam yang diketuai oleh Kamar
Aniah Kamaruzaman.
Anwar memfailkan permohonan qazaf itu pada 9
Julai 2008 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan terhadap Mohd
Saiful yang didakwa membuat "tuduhan palsu terhadapnya".
Anwar,
62, berdepan dengan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di
Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.
Ketiga-tiga responden tersebut
dinamakan dalam permohonan Anwar kepada Mahkamah Syariah Tinggi Kuala
Lumpur untuk mendapatkan perintah dan relif supaya mahkamah mendakwa
Mohd Saiful atas kesalahan qazaf di bawah Seksyen 41, Akta Jenayah
Syariah 1997 dan/atau hukum Syarak dalam tempoh 14 hari dari tarikh
perintah mahkamah.
Anwar juga memohon mahkamah memastikan agar
responden kedua dan ketiga, tidak menghalang dan/atau mempengaruhi
responden pertama daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam
pendakwaan terhadap Mohd Saiful.
Selain itu, Anwar juga meminta
supaya kos permohonan dijadikan kos dalam kausa; relif-relif lain yang
mahkamah fikirkan perlu; dan kegagalan mematuhi perintah mahkamah boleh
dikenakan tindakan penghinaan mahkamah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan