KUALA LUMPUR, 16 Feb: Mohd Lokman Ghani, Pegawai Khas
bagi Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah semalam secara
terbuka mempertikai tindak-tanduk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin kerana tidak menghormati pendirian veteran Umno
Kelantan itu menyertai suatu forum isu royalti minyak penghujung bulan
lepas.
Kritikan tersebut selepas Tengku Razaleigh atau Ku Li sendiri
menyatakan kesediaan untuk menghadapi tindakan disiplin Umno sekiranya
dianggap menyalahi perlembagaan parti perkauman tersebut, sebagaimana
yang dibangkitkan oleh beberapa pemimpin Umno negeri dan nasional
sebelum ini.
"Saya merasa kecewa dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri (TPM)
yang juga Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang
seolah-olah tidak faham dan masih tidak mahu faham tentang pendirian Ku
Li sedangkan Ku Li sudah beberapa kali menegaskan bahawa beliau berucap
di pentas NGO iaitu Gegar," jelas beliau seperti dipetik dari blog
perisik-rakyat, http://perisik-rakyat.com.
"Saya hairan adakah TPM, Perdana Menteri dan ahli parti semua
mendengar ucapan Ku Li? Saya harap supaya semua mereka mendengar dari
awal hingga akhir. Apakah kenyataannya itu melanggar Perlembagaan dan
disiplin Umno?"
Menurut Lokman lagi, pendirian Ku Li itu bertujuan untuk tidak mahu
bersekongkol dan berbohong bersama-sama dengan kerajaan Persekutuan
dalam menafikan hak kerajaan serta rakyat Kelantan dari menikmati
royalti minyak, bukannya 'wang ehsan'.
"Kalau kerajaan bohong takkan Ku Li nak ikut sama berbohong?
Terpulang kepada Lembaga Disiplin Parti untuk menentukan sama ada
beliau bersalah atau tidak kerana apa yang hendak disampaikan oleh
beliau ialah undang-undang dan perjanjian yang telah ditandatangani
antara Petronas dan wakil Kerajaan Negeri Kelantan memandangkan beliau
sendiri yang telah menandatanganinya dan beliau lebih tahu akan soal
ini," jelasnya.
"Apa yang hendak disampaikan adalah perkara yang benar. Beliau tidak
mahu berbohong dan beliau hanya mahu bercakap perkara yang benar.
Apakah kenyataan benar dan tepat itu bercanggahan dengan kehendak
parti? Apakah Ku Li perlu diseret sama untuk berbohong kepada rakyat
semua?"
Beliau turut menafikan bahawa Ku Li pernah mengeluarkan kenyataan
yang tidak konsisten berhubung status royalti minyak Terengganu, ketika
menjadi saksi mewakili kerajaan PAS Terengganu suatu ketika dulu.
Beliau mendakwa Muhyiddin tidak pula mengenakan tindakan kepada
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz kerana mengeluarkan
kenyataan tidak menghalang niat Ku Li untuk menyertai badan bukan
kerajaan (NGO) Gegar sehari sebelum sebelum forum tersebut
dilangsungkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan