TEHERAN: Menteri Perisikan Iran, Gholam Hossein Mohseni Ejeie berkata Israel merancang untuk membunuh Presiden Mahmoud Ahmadinejad ketika pilihan raya presiden bulan lalu.
Agensi berita Fars memetik Ejeie sebagai berkata pegawai Israel menemui anggota kumpulan pembangkang Iran yang dibuang negara, Mujahidin Rakyat Iran (PMOI), untuk melaksanakan rancangan berkenaan.
“Regim Zionis menemui kumpulan hipokrit (nama yang diberikan oleh Iran kepada PMOI) di luar mesyuarat di Sharm el-Sheikh di Mesir dan Paris untuk membunuh Ahmadinejad,” kata Ejeie.
Tapi PMOI meletakkan beberapa syarat bagi melaksanakan tugas berkenaan, katanya.
“Pihak hipokrit itu meletakkan beberapa syarat bagi melaksanakan tugas ini dan meminta Amerika Syarikat dan negara lain supaya mengeluarkan namanya daripada senarai hitam (pengganas),” kata Ejeie.
“Musuh Iran sanggup menemui penentang di timur negara ini untuk mencapai matlamat mereka,” tambahnya, merujuk kepada penentang Sunnah yang terbabit dalam penentangan terhadap kerajaan Syiah di Iran.
Ketegangan di antara Iran dan Israel menjadi bertambah buruk di bawah Ahmadinejad yang sering melemparkan pelbagai kenyataan anti-Israel.
Israel adalah salah satu penentang utama program nuklear Iran, di samping Washington dan kuasa global lain.
Ahmadinejad dipilih semula pada 12 Jun lalu bagi tempoh empat tahun lagi. - AFP