Untuk Aljazira Tv klik webtv

Guan Eng rasmi makmal sains pertama SAR


PERMATANG PAUH, 23 Mac: Ketua Menteri, Lim Guan Eng telah merasmikan makmal sains pertama sekolah agama rakyat (SAR) di Pulau Pinang, kelmarin.
Sekolah agama rakyat, Madrasah Al-Aminiah yang terletak di jalan Permatang Nibong-Permatang Pauh merupakan antara beberapa buah sekolah agama rakyat yang telah menerima bantuan kerajaan negeri.
“Kita percaya dan yakin bantuan yang diberikan kepada sekolah agama rakyat digunakan dengan telus, dan kita juga percaya ianya digunakan tanpa sebarang kebocoran.
“Maka kerana itu kita memberi bantuan dan ini adalah bantuan pertama seumpamanya kerajaan negeri kepada sekolah agama rakyat,” kata Guan Eng.
Beliau turut memetik ungkapan daripada Khalifah Umar Abdul Aziz: “Ilmu adalah pakaian jasad orang kaya, penolong bagi orang fakir, bukan aku menyatakan bahawa ilmu untuk mencari kekayaan tetapi untuk kenaan, panduan bagi orang miskin”.
Sementara itu, Ustaz Salleh Man selaku Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri (MAIPP) turut merasa bangga kerana selama ini bantuan ke sekolah agama rakyat disekat.
Malah, katanya sekolah-sekolah agama terpaksa melancarkan kempen derma bagi menampung keperluan pembelajaran anak-anak yang belajar di sekolah berkenaan.
Kini, tambahnya kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat telah memberi bantuan kepada semua sekolah agama bagi meningkatkan kemudahan dan keperluan untuk pembelajaran di sekolah-sekolah agama.

120 pemohon di Daerah Kuala Muda terima geran tanah


Sungai Petani - Seramai 120 orang pemohon dari pelbagai kaum dan keturunan, sekitar daerah Kuala Muda boleh tersenyum lebar apabila permohonan mereka diluluskan dan dianugerahkan surat hakmilik tanah hari ini. Antara ketegori tanah yang diluluskan ialah tanah untuk kediaman dan tanah untuk pertanian. 


 
Menurut Pentadbir Tanah dan Galian Daerah Kuala Muda, Encik Zaid Ahmad penyelesaian permohonan tanah disasarkan sebanyak 964 fail setahun oleh Pejabat Tanah Daerah Kuala Muda.

“Setiap permohonan perlu dirujuk kepada jabatan-jabatan teknikal untuk pandangan sebelum dipanjangkan kepada pejabat Pengarah Tanah dan Galian negeri Kedah.

“Seterusnya permohonan akan di pertimbangkan oleh Jawatankuasa Tanah Negeri sebelum permohonan diluluskan. Setelah diluluskan, notis 5A akan dikeluarkan dan pemohon perlu menjelaskan bayaran tersebut sebelum surat hakmilik dikeluarkan oleh pejabat tanah daerah,” jelas Encik Zaid di majlis penyerahan geran hak milik tanah yang diadakan di perkarangan Pejabat Daerah Kuala Muda.

Katanya, penyampaian 120 hak milik tanah yang telah diluluskan membabitkan tanah kerajaan negeri setelah melalui proses yang telah ditetapkan.

Encik Zaid seterusnya menjelaskan, terdapat kira-kira tujuh RM7.45  juta tunggakan bayaran notis 5A, walaupun ada diantara sudah diluluskan sejak tahun 2006 lagi.

“Mengikut peraturan pemohonan, pemohon hendaklah menyelesaikan semua bayaran yang ditetapkan dalam notis 5A dalam tempoh 3 bulan dari tarikh notis diterima, masih terdapat yang gagal membuat demikian dalam tempoh yang di tetapkan.

“Selepas tempoh tersebut, sebarang rayuan hendaklah dipanjangkan untuk dipertimbangkan pengarah tanah dan galian dan jika selepas setahun notis tersebut, ianya perlu dibawa semula untuk pertimbangan jawatankuasa tanah negeri,” katanya lagi.

Seterusnya beliau menasihati semua pemohon yang dikeluarkan surat hakmilik tanah supaya tidak lupa membayar premium tanah sebagaimana ditetapkan.

Begitu juga, katanya, pemilik jangan lupa untuk menjelaskan cukai tanah. Kutipan hasil cukai tanah bagi Daerah Kuala Muda mencatatkan sejumlah RM32.7 juta pada tahun 2009.

Kementerian Kesihatan digesa umum pencemaran Rotarix


KUALA LUMPUR, 27 Mac: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengumumkan dengan segera kepada rakyat berhubung situasi pencemaran Rotarix di negara ini dan langkah yang diambil untuk mengawal keadaan. 
Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, kelompok Rotarix di seluruh dunia telah tercemar dengan bahan genetik daripada porcine circovirus jenis 1 (PCV1) iaitu virus yang biasanya ditemui dalam babi.  
Beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini turut melahirkan rasa amat terkejut dengan sikap mendiamkan diri oleh Kementerian Kesihatan dan GlaxoSmithKline Malaysia (GSK) berhubung meluasnya pencemaran Rotarix.
Ini kerana, katanya vaksin oral GSK yang diberikan kepada bayi berusia kurang daripada 12 bulan untuk mencegah rotavirus yang boleh menyebabkan gastroenteritis yang membawa kepada muntah, cirit birit dan demam.
Berikut ialah kenyataan penuh beliau.
CAP amat terkejut dengan sikap mendiamkan diri oleh Kementerian Kesihatan dan GlaxoSmithKline Malaysia (GSK) berhubung meluasnya pencemaran Rotarix, vaksin oral GSK yang diberikan kepada bayi berusia kurang daripada 12 bulan untuk mencegah rotavirus yang boleh menyebabkan gastroenteritis yang membawa kepada muntah, cirit birit dan demam.
Kelompok Rotarix di seluruh dunia telah tercemar dengan bahan genetik daripada porcine circovirus jenis 1 (PCV1) – virus yang biasanya ditemui dalam babi.  
Rotavirus adalah genus virus RNA dalam keluarga Reoviridae. Ia merupakan penyebab utama cirit birit yang teruk dalam kalangan bayi dan kanak-kanak dan merupakan salah satu daripada beberapa virus yang menyebabkan Rotavirus gastroenteritis, penyakit sederhana hingga ke peringkat yang teruk dengan ciri-ciri muntah, cirit birit berair, demam dan biasanya dikenali sebagai stomach flu, ia tidak mempunyai kaitan dengan selesema. Menjelang usia lima tahun, hampir setiap kanak-kanak di dunia ini dijangkiti dengan rotavirus sekurang-kurangnya sekali.
Bagaimanapun, dengan setiap jangkitan, imuniti akan berkembang dan jangkitan seterusnya akan menjadi kurang teruk dan orang dewasa jarang terjejas. Terdapat tujuh spesies virus ini yang dirujuk sebagai A, B, C, D, E, F dan G, kesemuanya juga menyebabkan penyakit terhadap binatang lain. Rotavirus A, yang paling biasa menyebabkan lebih daripada 90% daripada jangkitan pada manusia. 
Vaksin rotavirus seperti GSK Rotarix sepatutnya untuk melindungi kanak-kanak daripada rotavirus. Laporan media menjelaskan Rotarix diperbuat daripada rotavirus manusia yang lemah yang dibesarkan di dalam sel hidup. GSK menggunakan sel buah pinggang monyet untuk tujuan ini.
Menurut Dr Margaret Hamburg, Pesuruhjaya Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA), cebisan DNA PCV1 ditemui dalam bank sel Glaxo, bermakna ia hadir daripada perkembangan awal vaksin yang pada hakikatnya vaksin sepatutnya hendaklah disteril (bersih dari kuman). Kemungkinan besar GSK tidak menyedari sesuatu yang janggal ini dalam vaksin mereka lama sebelum 2006 apabila mereka menjalankan ujian klinikal ke atas Rotarix untuk kanak-kanak.
Kami mempersoalkan kenapa GSK tidak membuat sebarang usaha untuk mengasingkan dan memusnahkan virus ganas PCV1 dalam pelbagai bahan genetik yang diperlukan untuk menghasilkan vaksin apabila ia boleh dilihat dengan jelas oleh saintis jika keselamatan diutamakan. Amat mengejutkan sekali apabila GSK membenarkan keadaan berbahaya untuk berterusan sehingga beberapa tahun sehingga ia muncul sebagai pencemar untuk vaksin bagi kanak-kanak semuda seusia enam minggu.
Pada hakikatnya, GSK hanya melaporkan penemuannya sendiri berhubung kehadiran PCV1 dalam Rotarix kepada FDA pada 15 Mac, berdasarkan kepada kerja yang pada asalnya dilakukan oleh pasukan penyelidik akademik. Diikuti oleh ujian susulan yang dijalankan bersama oleh GSK dan FDA mengesahkan penemuan pasukan itu dan mengesahkan komponen viral terdapat sejak peringkat awal perkembangan vaksin termasuk sewaktu ujian klinikal. 
Terdapat dakwaan bahawa tiada bukti bahawa terdapat risiko kepada pesakit yang menerima vaksin ini, bagaimanapun FDA pada 22 Mac memutuskan untuk berhati-hati dan mengeluarkan amaran kepada pakar kanak-kanak di seluruh negara di Amerika Syarikat untuk menghentikan memberikan Rotarix kepada pesakit mereka sementara menunggu siasatan yang dijangkakan berakhir dalam masa enam minggu. Pihak FDA juga mengakui sehingga kini virus babi yang khusus ini bukanlah satu-satunya yang mereka fikirkan pembuat vaksin perlu untuk memeriksa produk mereka. 
Pada hari ini (27 Mac), Kementerian Kesihatan Emiriyiah Arab Bersatu (UAE) telah mengambil isyarat daripada FDA dan telah mengarahkan pergantungan segera pengimportan, pengedaran dan penjualan Rotarix dan pengharaman sementara penggunaannya untuk kanak-kanak. Jordan melalui Pentadbiran Makanan dan Ubatan juga telah menerima pakai pendirian FDA dengan menggantung semua preskripsi Rotarix memandangkan mereka bimbangkan risiko kesan sampingan yang tidak diketahui daripada PCV1.
Lembaga Sains Kesihatan Singapura (HSA) telah meminta doktor menangguhkan vaksinasi Rotarix atau menggunakan alternatif sementara HAS bekerjasama dengan GSK untuk menentukan jika sebarang kelompok vaksin Rotarix telah tercemar. Dalam satu kenyataan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara yang menggunakan Rotarix supaya “berhati-hati mempertimbangkan manfaatnya untuk terus menggunakannya dalam sebarang keputusan. 
Sementara itu, Pengarah Klinikal R & D dan Hal Ehwal Perubatan GSK Malaysia dan Singapura, Dr Teoh Yee Leong, berkata pembuat ubat itu memberikan jaminan kepada HAS bahawa mereka akan “terus berkongsi maklumat dengan HAS apabila ia diperolehi”, kerjasama yang sama seperti itu dilihat tidak dihulurkan kepada pihak Kementerian Kesihatan kita.
Berdasarkan kepada sikap berdiam diri Lembaga Kawalan Ubatan (DCA) Kementerian Kesihatan berhubung perkara ini, ia dilihat GSK mempunyai alasan enggan untuk mendedahkan sebarang maklumat berhubung isu kritikal ini kepada Kementerian Kesihatan walaupun sudah 12 hari sejak perkara ini dilaporkan kepada USFDA. Sementara amat bekerjasama dengan HSA Singapura, GSK Malaysia dilihat menyokong sepenuhnya di sebalik Kementerian Kesihatan yang secara terbuka menyarankan penggunaan Rotarix di Malaysia. Kami bimbang jika ini kesnya yang sebenar atau rakyat dibiarkan dalam keadaan tidak mengetahui apa-apa. 
Dalam sebuah negara yang mempunyai rakyat beragama Islam sebagai majoriti seperti negara kita, amat difahami bahawa isu seperti ini boleh menjadi sesuatu yang sensitif, terutama sekali memandangkan vaksin itu tercemar daripada virus yang berasal daripada babi. Sepertimana yang kita semua tahu, pengambilan babi adalah ‘haram’ atau dilarang kepada orang Islam.
Salah satu rasional saintifik kenapa babi dikategorikan sedemikian oleh Islam memandangkan kepada kehadiran sejenis parasit seperti Taenia solium (pork tapeworm) dan Trichinella spiralis (trichina worm) dan mikroorganisma seperti procine circovirus jenis 1 yang tidak diragui lagi berbahaya kepada kesihatan manusia. Sebab itulah Rotarix yang tercemar dengan PCV1 tidak dapat diterima oleh orang Islam tetapi Kementerian Kesihatan mempunyai tanggungjawab bukan hanya kepada orang Islam tetapi juga kepada semua rakyat yang beragama lain di negara ini untuk menjelaskan situasi serta mengambil langkah segera untuk menarik balik dan menganalisis kelompok Rotarix yang sedia ada itu tercemar dan mengumumkan amaran di seluruh Negara serta menggantung vaksin itu sehingga ia terbukti selamat. 
Kerajaan UAE dan Jordan di mana Islam merupakan majoriti dan agama rasmi telah menjadi contoh dalam tindak balas mereka yang proaktif dan segera terhadap ancaman pencemaran Rotarix. Mereka telah menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab kepada warganegara mereka memandangkan kepada keadaan ancaman iaitu membahayakan kesihatan serta mempunyai kaitan dengan agama dan mereka telah mengumumkan keputusan mereka untuk khalayak ramai. 
Sama ada GSK Malaysia telah memberikan amaran atau tidak kepada Kementerian Kesihatan, kami mempersoalkan kenapa Kementerian Kesihatan masih belum mengisytiharkan amaran ke seluruh negara dan menggantung vaksin Rotarix sekarang dan menjalankan ujian keselamatan yang ketat ke atas kelompok Rotarix yang sedia ada.
Apakah yang telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan untuk memberitahu dan menyakinkan rakyat terhadap keselamatan anak-anak mereka? Apakah yang menghalang Kementerian Kesihatan daripada menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat? Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui jika kepercayaan agama dan kesihatan mereka mungkin dikompromikan. 
CAP menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengumumkan dengan segera kepada rakyat berhubung dengan situasi pencemaran Rotarix di negara ini dan langkah yang diambil untuk mengawal keadaan. 

Nik Aziz sokong guna 'Allah' pada Rukun Negara

KOTA BHARU, 27 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dangan gesaan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar kalimah Allah digunakan bagi menggantikan perkataan Tuhan dalam prinsip pertama Rukun Negara.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, penggunaan kalimah Allah itu mampu merungkai kekeliruan dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini.
"Sekarang ni rakyat keliru, Allahpun Tuhan, Nabi Isa pun Tuhan, kubur keramat pun tuhan, jadi hak mana sebenarnya tuhan, tapi kalau kita pakai satu nama Allah sahaja, yang mereka tertanya-tanya tu, kita sedia bagi penjelasan yang mana satu tuhan sebenarnya," ujarnya pada sidang media di Majlis Ramah Mesra Warga Orang Kurang Upaya (OKU) di Perdana Resort hari ini.
Turut hadir di majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fatah Mahmood dan Pengarah Urusetia, Abdul Aziz Yunus, Setiausaha Sulit khas, Rosdi Abdullah dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.
Isu pindaan perkataan Allah pada prinsip Rukun Negara dibangkitkan Abdul Hadi sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Ujar Tuan Guru Nik Aziz lagi, jika masih timbul kekeliruan berhubung penggunaan perkataan Allah itu, PAS bersedia mengambil tanggungjawab memberi penjelasan kepada masyarakat.
Mengulas kedudukannya sebagai Mursyidul Am PAS pula, beliau sedia memikul amanah tersebut jika terus diberi kepercayaan oleh parti.
Namun, beliau juga menyatakan kesediaan untuk berundur jika parti mempunyai pengganti yang lain.
Ketika ditanya Jom Heboh di Kelantan pula, Nik Aziz berkata, kerajaan negeri akan sentiasa membuat apa yang sedia ada,namun akan dipantau dan diselaraskan dengan undang-undang dan berkaitan yang wajib mematuhi enakmen hiburan Kelantan.
"Tuan-tuan kena ingat, Islam ni orang lain kata tak boleh, tapi kita kata boleh, mereka pula akan kata adanya huru-haralah bila Islam memerintah, kemunduran dan sebagainya, ertinya walaupun mereka ini Islam, mereka ini mengatakan Islam tidak boleh,"katanya lagi.
Nik Aziz berkata pembentukan kerajaan Kelantan masa kini adalah hasil daripada kepercayaan rakyat dan akan diselaraskan dengan kehendak Islam termasuklah dalam hiburan.
"Alhamdulillah, Jom Heboh dapat berjalan dengan baik, tetapi kita baiki apa yang ada dalam program mereka ini agar selari dengan peraturan hiburan dalam negeri kita.

"Kita akan terima jika Jom Heboh ingin diadakan pada tahun hadapan sekiranya mereka akur dengan kehendak kerajaan," kata beliau

Zaid bakal calon PKR?

Ketika para pemimpin Barisan Nasional (BN) saling berebut antara satu sama lain siapakah bakal diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, PKR nampaknya memberikan tanda yang jelas dalam majlis mereka malam tadi.

Ia semacam disahkan pula oleh Twitter yang disebarkan oleh ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika majlis itu bermula. Ada empat pemimpin PKR yang menyertai majlis perhimpunan 'Selamatkan Malaysia' di Stadium Kuala Kubu malam tadi, selain beliau sendiri.

"Alhamdulillah.. sambutan hangat. Sen SHusin, ybAzmin TSKhalid, ybSiva, DZaid." bunyi Twitter Anwar.

Ekoran itu, nama Datuk Zaid Ibrahim semakin jelas akan menjadi calon PKR dalam pilihan raya kecil ini kerana selain beliau semua pemimpin PKR yang disebutkan sudah menjadi wakil rakyat di samping senator.

Datuk Zaid, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, dilihat antara tokoh nasional PKR yang perlu kembali ke Dewan Rakyat. Jika tidak, suara beliau sukar untuk diberi perhatian sewajarnya.

Dipihak BN pula, ramai yang menyerang MIC selepas nama timbalan presidennya, Datuk G Palanivel diumumkan bakal menjadi calon BN sekali lagi di situ selepas kalah dalam pilihan raya umum lalu.
Umno Hulu Selangor sendiri mahukan tokoh veteran Selangor Tan Sri Muhamad Muhd Taib menjadi calon kononnya untuk mengulangi kejayaan mereka dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang. Bekas MB, Datuk Dr Muhamad Khir Toyo juga membantah cadangan MIC itu.
Menambahkan lagi kecenderungan ke arah itu adalah apabila Datuk Noh Omar dilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil tersebut dan ketua Umno bahagian berkenaan, Datuk Mohamed Idris Bakar dilantik sebagai timbalannya.

Dalam pilihan raya Bagan Pinang, Umno berjaya mengekalkan kerusi itu bahkan berjaya menambahkan undi majoriti apabila bekas MB Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad diletakkan.

"Jika kita mahu mengembalikan kegemilangan di Bagan Pinang, tokoh veteran Umno perlu diletakkan di sini. Kita yakin, kemenangan mudah bakal dicapai," kata seorang pemimpin Umno Bahagian sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah laman web.

Namun begitu, risiko yang dihadapi Umno adalah 'merampas' kerusi MIC ketika parti yang mewakili kaum India dalam BN itu sedang 'luka'. Sedangkan dalam masa yang sama, 19 peratus pengundi di sini adalah dari kaum India. Pengundi Melayu adalah kira-kira 53 peratus manakala Cina 28 peratus.

Dalam pilihan raya umum 2008, calon BN, Datuk G Palanivel tewas kepada kepada calon PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad yang meninggal dunia semalam akibat barah otak.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan memanggil pilihan raya kecil bagi kawasan tersebut dalam tempoh 60 hari. SPR pula akan bermesyuarat Jumaat depan untuk memutuskan tarikhnya.

Walaupun ia merupakan kerusi majoriti Melayu, tetapi ianya telah diperuntukkan kepada MIC sejak sekian lama. Jika mencari kerusi majoriti India nescaya tidak adalah calon MIC yang dapat bertanding. G Palanivel menang pada pilihan raya 1999 dan 2004, tetapi tewas kepada Zainal Abidin pada 2008. Zainal Abidin mendapat 23,177 undi untuk menang tipis dengan 198 undi. Palanivel pula mendapat 22,979 undi.

Pujukan yang dibuat Umno kepada MIC adalah parti itu akan diberikan kerusi lain dalam pilihan raya umum nanti. Tetapi, kerusi manakah itu, belum disebutkan lagi. Ini menyebabkan ramai pemimpin MIC beranggapan ini janji kosong Umno sahaja.

Walaupun tuntutan agar PKR juga meletakkan calon India dalam pilihan raya ini berkumandang juga namun jika PKR terus dengan calon Melayu ia tidak berapa sukar. Ini kerana, kerusi ini dimenangi dalam pilihan raya 2008 lalu melalui calon Melayu iaitu Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad. Jadi jika

Datuk Zaid yang bertanding, ia bakal diterima dengan baik. Tambahan pula, jika Zaid yang terpilih, ia lebih senang kerana dia sangat diterima baik oleh India, Cina maupun Melayu di negara ini.

Zaid pula dikatakan sudah mula 'bekerja' untuk menjadi wakil rakyat kawasan ini setelah Dr Zainal sekian lama tidak mampu untuk menjalankan tugasnya dengan baik kerana skit barah otak yang dialaminya itu.

"Walaupun Zaid orang Kelantan tetapi dia sudah lama menjadi 'rakyat Selangor' selepas bekerja dan tinggal di sini sejak sekian lama," kata seorang pemimpin kanan PKR.

Halangan besar beliau dalam memenangi kawasan ini adalah empat kawasan Felda yang ada dalam kawasan Hulu Selangor Felda Gedangsa, Soeharto, Sungai Tengi dan Sungai Tengi Selatan. Ia bakal menjadi kubu Umno.

Namun sejarah 13 tahun lalu di mana ke empat-empat kawasan Felda ini mahu dijadikan zon industri oleh bakal calon Umno kini, iaitu Tan Sri Muhamad, bakal menjadi mimpi ngeri untuk Umno. Sekurang-kurang 70 keluarga kakitangan Felda yang terpaksa bersara awal untuk menyambut kawasan industri itu tentu masih merasa peritnya.

Jika Zaid dan PKR dengan sokongan penuh PAS dan DAP boleh berbuat sesuatu di sini, sudah pasti angan-angan Umno untuk menjadikan Hulu Selangor sebagai Bagan Pinang kedua bakal meleset.

Kelayakan KPN: Sivarasa dipanggil beri keterangan

KUALA LUMPUR, 26 Mac: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivarasa Rasiah hari ini dipanggil memberi keterangan mengenai laporan polis yang dibuatpada 24 Mac lalu terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang didakwa membuat kenyataan palsu dalam prosiding Mahkamah.

Beliau hadir jam 3.00 petang tadi memberi keterangan hampir satu jam di ibu pejabat polis IPD Dang Wangi.

"Mereka minta bukti saya ada untuk menunjukkan bahawa Tan Sri Musa Hassan telah membuat kenyataan palsu dalam mahkamah.

"Saya sebut saya lampirkan dalam laporan polis saya, saya kepilkan nota prosiding mahkamah.

"Ini bukan cerita dengar cakap, saya dapat bukti kukuh berdasar nota prosiding yang ditaip di mahkamah", katanya ketika ditemui pemberita selepas itu.

Rabu lalu, Siva membuat satu laporan polis terhadap Musa Hassan yang didakwa memberikan pengakuan palsu berhubung kelayakannya pada perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Menurut Sivarasa, semasa kes perbicaraan Anwar pada tahun 1998 di mana Musa Hassan sebagai Pegawai Siasatan, beliau menyatakan di depan Hakim Augustine Paul dengan mengatakan beliau mempunyai ijazah apabila disoal oleh peguam Christopher Fernando.

Tetapi ujarnya, semasa perbicaraan rasuah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Ramli Yusuff di Mahkamah Sesyen Sabah, Musa dalam prosiding kehakiman memberitahu beliau mempunyai diploma undang-undang dan kajian pengurusan.

Pada masa yang sama, beliau juga turut mengesyorkan kepada kerajaan supaya menghentikan tempoh perkhidmatan ketua polis negara itu.

Baginya, Musa sebagai pegawai tinggi kerajaan sudah hilang integriti dan kredibiliti apabila melakukan pembohongan di mahkamah.

"Sekarang ini bukan isu dia ada diploma atau ijazah, isunya dia berbohong di mahkamah.

"Kalau nak tahu dia ada diploma atau ijazah, baik tanya dia sendiri," katanya

Utusan biadab dan bodoh kepada Sultan Selangor - Zaid


KUALA LUMPUR, 25 Mac: Bekas de facto Menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim menempelak penulis kanan Utusan Malaysia yang menggunakan nama Awang Selamat dan menyifatkan penulis itu membuat "sindiran yang biadab dan bodoh" terhadap Sultan Selangor.

Zaid dalam tulisan di blognya berkata, "Kalaulah saya Sultan Selangor, tentu terguris hati saya dengan sindiran yang biadab dan bodoh inii."

Zaid mengulas tulisan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia Ahad lepas. Selain Zaid, turut kesal dengan tulisan itu adalah para Adun Pakatan Rakyat di Selangor.

Mereka akan mengemukakan usul khas untuk mengecam Utusan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor yang dijangka bersidang tidak lama lagi.

Berikut adalah tulisan penuh Zaid dalam blognya yang bertajuk "Pagar Makan Padi":

Awang Selamat marah benar. Kepada orang Melayu yang tidak mahu bersekongkol dengan Ibrahim Ali dan Mahathir Mohamad dalam mesyuarat agung pertama Perkasa pada Sabtu ini, Awang yang kerdil itu berkata: “Usahlah menjadi Melayu di tanah air ini, jika kita terlalu takut dan mengikut telunjuk pihak yang sedang pun menghakis kedudukan Melayu”. Kalaulah saya Sultan Selangor, tentu terguris hati saya dengan sindiran yang biadab dan bodoh ini.

Awang naik berang kerana menurutnya, Perkasa patut di sanjung dan disokong kerana begitu lantang mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu yang dikatakan sedang dihina. Yang anehnya sejak bila pula institusi Raja-Raja Melayu kita dihina? Saya belum terbaca atau mendengar mana-mana pihak yang mencabar institusi Raja. Kalau pun Karpal Singh itu dikatakan mencabarnya, bukankah kes itu belum lagi selesai? Itu pun kes perundangan.

Kenapa Awang, Ibrahim Ali dan Mahathir tak sabar-sabar hinggakan perlu memanggil 10,000 orang Melayu berhimpun. Kalau setakat nak beri orang ramai makan percuma dalam dewan yang empok, 20,000 orang pun boleh dicari. Tetapi Melayu sekarang tidaklah sebodoh yang difikirkan oleh Awang. Lebih baik Awang bagi contoh-contoh siapa dan apa yang mencabar Raja-Raja kita? Saya sangka orang akhbar ini bijak dan pintar, dan kenyataan pun biasanya berasas dan ada minat ke arah mencari kebenaran. Itu sepatutnya menjadi kriteria utama wartawan cemerlang.

Awang juga mendakwa kepentingan Melayu diasak begitu hebat selepas pilihanraya umum 2008 dan hanya Perkasa yang mempertahankan hak orang Melayu. Wah! Bila UMNO dan Barisan Nasional hilang banyak kerusi, maka itu bererti menghina Melayu? Ini rupanya punca kemarahan Awang dan Utusan Malaysia. Sebenarnya, itu bukan menghina Melayu, cuma rakyat membuat pilihan mengikut selera mereka. Takkanlah kalah sikit, sudah nak marah. Itu gila kuasa namanya. Bagaimana nak ada demokrasi macam itu. Awang perlu sedar banyak juga orang Melayu yang mengundi Pakatan Rakyat? Bukan setakat pilihanraya umum 2008, malah dalam banyak pilihanraya kecil selepas itu pun orang Melayu memilih Pakatan Rakyat. Malah lebih ramai yang mengundi Pakatan daripada UMNO. Jadi Melayu mana yang Awang wakili?

Untuk pengetahuan Awang, biarlah dijelaskan di sini bahawa yang menghakis kedudukan Melayu ialah golongan Melayu atasan UMNO kerana merekalah yang memerintah. Tak ada kumpulan lain pun yang mentadbir negara ini kecuali mereka, sejak merdeka dahulu. Jika Awang kata kedudukan Melayu terhakis, maka kumpulan Melayu atasan inilah yang bertanggungjawab sepenuhnya. Tapi Awang berani kutuk Pakatan saja. Awang kecut perut dan takut nak berdepan dengan “political masters” dia. Kalau benar anak jantan, tanyalah kepada orang seperti Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Najib Razak mengapa Melayu masih ketinggalan, mengapa tanah rezab Melayu makin berkurangan, mengapa jurang di antara Melayu kaya dan Melayu miskin bertambah besar? Salah siapa?

Masalah Melayu dan bumiputra bukan kerana Melayu/ bumiputra tidak ada hak atau keistimewaan Melayu dicabar. Soal hak tak timbul. Masalah sebenar ialah orang Melayu selama ini telah mengharapkan pagar tapi pagar itu pula yang telah makan padi. Sampai hari ini pagar itu masih tak berhenti-henti makan padi milik orang Melayu. Itulah punca kemunduran Melayu sabenar. Tak kan lah ini pun tak faham.

Apco serlahkan Umno tali barut Israel


KUALA LUMPUR, 25 Mac: Keputusan kerajaan melantik Apco Worldwide sebagai syarikat perunding komunikasi 1Malaysia menyerlahkan Umno sebagai tali barut Israel, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).
Beliau berkata demikian kerana Umno tidak mampu menyatakan komitmennya terhadap syarikat tersebut walaupun syarikat itu dikatakan umum sebagai pro zionis Israel.
"Ini serlahkan bahawa Umno adalah tali barut Yahudi zionis kerana dia (Umno) tak boleh menyatakan pendirian (tentang Apco)," jelas beliau petang tadi.
Tidak cukup dengan itu, kata beliau, tidak mustahil kerajaan Malaysia turut memberikan maklumat yang strategik pada Apco kerana Apco tidak berupaya memberikan nasihat yang strategik.
"Kalau Umno tidak diberi maklumat yang strategik seperti demografi negara, bagaimana Apco nak beri nasihat supaya Najib dilihat baik, 1Malaysia direalisasikan.
"Dengan maklumat strategik ini, bermakna keselamatan negara sendiri terdedah pada pihak luar,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyuarakan rasa curiga pada kerajaan kerana melantik Apco secara tender yang eksklusif sedangkan Apco dibayangi oleh beberapa pemimpin zionis Israel seperti Shimon Stein (bekas Duta Kehormat Israel ke Jerman), Profesor Ittamar Rabinovich (bekas Duta Besar Israel ke Amerika Syarikat), Doron Bergerbest-Eilon (bekas Jeneral Major di Agensi Keselamatan Israel, ISA), David Heral (anggota perisik di ISA), Oded Raz (bekas Pegawai Kanan di ISA) dan Elliott Abrams (proksi Yahudi, bekas pembantu khas kepada Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush).
"Kesemua mereka jelas pro zionis Israel, sebab itu rakyat perlu diberitahu atas asas apa mereka ini dipilih," jelasnya.
"Dengan pemilihan Apco ini, apakah membabitkan individu di dalam kerajaan sendiri kerana ini bukan tender terbuka, dilanti khusus untuk perbaiki imej Najib."
Ekoran itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, tindakan kerajaan itu seolah-olah tidak mengiktiraf kelayakan beberapa syarikat perunding tempatan yang sebenarnya mempunyai kelayakan dan wajar diberi peluang.
Bercakap di Dewan Rakyat, beliau turut menasihatkan kerajaan supaya tidak mendapatkan khidmat nasihat daripada syarikat yang dipercayai umum pro zionis Israel itu.
Ini kerana, beliau berkata, Israel pernah menggunakan maklumat komunikasi daripada agensi komunikasi Amerika Syarikat  untuk turut serta secara tidak langsung dalam Perang Teluk pada 1988 lalu, bagi mengenakan Iraq

MP Hulu Selangor meninggal dunia

Ahli parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada jam 9.27 malam tadi di rumahnya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Kajang akibat barah otak.

pkr mp hulu selangor zainal abidin ahmadZainal Abdidin, 71 adalah juga bekas Timbalan Menteri Besar Selangor.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor, Zainal merupakan orang kuat Umno Selangor dan pernah menjadi Exco kerajaan negeri selama lapan tahun dan Ketua Umno Bahagian Hulu Langat selama 14 tahun.
Pada Mac 2005, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR.
Zainal Abidin berjaya memenangi kerusi Hulu Selangor dengan mengalahkan calon BN dari pari MIC, P Palanivel pada pilihan raya umum yang lalu.
Mengikut peraturan, pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari setelah speaker Dewan rakyat dimaklumkan mengenai kekosongan kerusi berkenaan.

Kematian Zainal Abidin dilihat ramai penganalisis memburukkan lagi keadaan di PKR yang baru-baru menghadapi masalah apabila tiga ahli parlimennya berpaling tadah manakala seorang lagi dipecat.

Bagaimanapun, kekosongan kerusi Hulu Selangor juga bukan berita gempira bagi Barisan Nasional yang menghadapi dilema untuk mencari calon yang sesuai.

Sejak bekas menteri besar Selangor itu dilaporkan uzur, khabar angin bertiup kencang bahawa Umno cuba mendapatkan kerusi itu semula yang secara tradisinya diserahkan kepada sekutunya, MIC.

Shafie Apdal dituntut pohon maaf

Saya amat merasa kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal pada 17 Mac 2010 apabila beliau memberitahu pemberita, kedatangan masyarakat kami itu hanya untuk melawat Putrajaya dan berseronok-seronok.

Beliau juga menyatakan bahawa pihak kerajaan telah menghabiskan RM400 juta setahun bagi tujuan membangunkan masyarakat Orang Asli. Jika benar sepertimana yang beliau nyatakan, pastinya Orang Asli sudah banyak yang kaya-raya, tidak lagi daif seperti sekarang.

Perkara sebegini jelas memperkecil atau mempersendakan tuntutan kami, sedangkan tujuan utama kami adalah untuk menghantar Memorandum Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) dan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) yang dihadiri lebih 2,000 Orang di Putrajaya pada 17 Mac - mewakili lebih 150,000 Orang Asli yang ada di negara ini, bagi membantah Dasar Pemberimilikan Tanah, yang telah diluluskan oleh Majlis Kanun Tanah Negara pada 4 Disember 2009.

Di mana keseluruhan kandungan dasar ini jelas bercangah dengan Perlembagaan Negara, terutama sekali di (l) yang menyatakan “Ketua Isi Rumah atau KIR Orang Asli yang mendapat faedah dari Dasar ini, tidak boleh menuntut apa-apa pampasan, gantirugi atau membawa sebarang tuntutan ke mahkamah ke atas tanah yang dinamakan kawasan rayau/saka atau dalam erti kata yang lebih tepat lagi wilayah adat. Sedangkan mereka yang menangkap binatang di hutan pula boleh didakwa di mahkamah.

Di sini jelas bahawa pihak kerajaan lebih berminat melindungi binatang dengan mewartakan kawasan perhilitan, daripada mewartakan wilayah adat dan menjaga kebajikan Orang Asli.

Draf dasar ini juga digubal dan diluluskan tanpa mengambil kira sensitiviti kaum yang disasarkan, sedangkan masyarakat kami amat memerlukan tanah dan sumber-sumber dari hutan bagi meneruskan amalan agama, adat resam dan budaya. 

Oleh itu, di sini saya ingin mengambil kesempatan meminta kepada Datuk Seri Shafie Apdal supaya memohon maaf secara terbuka kepada semua masyarakat Orang Asli melalui media elektronik mahu pun media cetak di atas kesilapan beliau bagi mengelak persepsi lebih buruk lagi terhadap Kerajaan.

Penulis adalah daripada Jaringan Kampung Orang Asli Sungai Mai (JKOASM) mewakili JKOAPahang.



sumber  :http://www.malaysiakini.com/letters/127191

Judi sukan, Pakatan minta Najib perjelaskan

Ahli parlimen Rasah, Anthony Loke hari ini mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk tampil bagi menjawap di Dewan Rakyat berhubung laporan agensi berita asing bahawa kerajaan bercadang mempertimbangkan agar pertaruhan atau judi sukan dibenarkan di negara ini.

Ini kerana katanya, pertaruhan berkenaan akan menjadi punca kepada masalah gejala sosial yang lain, khusnya di kalangan masyarakat Cina.

Menurut Loke (kiri), untuk mempertimbangkan keputusan yang akan memberi impak sosial yang sebegitu besar, kerajaan seharusnya membuat pungutan suara.

MP Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad yang juga hadir pada sidang media di lobi Parlimen berkata tindakan mempertimbangkan judi sukan itu suatu pendedahan yang agak menggangu fikiran.

Katanya, adalah mengejutkan bahawa Najib cuba berganjak dari dasar Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution pula berkata Najib wajar menjelaskan kenapa beliau sanggup mempertimbangkan judi itu. Jika alasanya untuk meraih jumlah wang yang besar, katanya ia adalah bukti bahawa kerajaan mengabaikan rakyat.

Usul bahas 'pihak ketiga' dalam PDRM ditola

Ahli parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali kesal dengan keputusan timbalan yang di-Pertua Dewan Rakyat yang tidak membenarkan mesyuarat ditangguhkan untuk membincangkan usul mengenai campurtangan pihak ketiga dalam urusan Polis Diraja Malaysia.

Timbalan yang dipertua Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata usul tersebut tidak perlu dikemukakan dengan alasan ia telah dibincangkan di dalam dewan.

Usul itu juga telah ditolak selepas Dr Lo' Lo' yang mengemukakan usul tersebut di kamar pada 23 Mac.

Ketika diminta untuk menjelaskan sebab penolakan usul itu, Wan Junaidi berkata perkara tersebut telahpun dibahaskan di dalam dewan pada hari berkenaan.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah memberi penjelasan dalam semasa menjawab soalan lisan kelmarin, katanya lagi.

Tidak berpuas hati, Dr Lo' Lo' kemudiannya bangun dan berkata perbahasan untuk isu tersebut sekurang-kurangnya perlu mengambil masa selama satu jam.

Timbalan yang dipertua bagaimanapun mengekalkan keputusannya untuk tidak membenarkan usul tersebut dibentangkan.

Bercakap kepada media selepas itu, Dr Lo' Lo' berkata isu tersebut sangat penting untuk dibahaskan kerana ketua polis negara biasanya tidak akan membuat kenyataan yang bersifat eksplosif seperti itu kepada media.
Semboyan "distress"

Jelasnya, pendedahan yang dibuat oleh Tan Sri Musa Hassan dalam satu wawancara dengan akhbar Mingguan Malaysia itu juga menunjukkan Musa mengeluarkan semboyan "distress."

Menurut usul tersebut, Dr Lo' Lo' berkata perkara tersebut melibatkan kepentingan ramai dan keselamatan negara.
"Keselamatan negara dan rakyat terletak di bawah kawalan Polis Di Raja Malaysia. Kenyataan Ketua Polis Negara bahawa terdapat pihak ketiga yang memberikan arahan kepada pihak polis adalah amat serius dan jelas menunjukkan bahawa tahap keselamatan negara berada dalam keadaan tidak terkawal.

"Kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa pihak polis boleh diperkotak-katikkan dalam mengambil tindakan selaras dengan hasrat pihak ketiga. 

"Bagaimana rakyat akan merasa selamat berada di dalam negara di mana pihak yang menjaga keselamatan mereka iaitu Polis Diraja Malaysia boleh diarahkan oleh pihak ketiga yang tidak diketahui asal-usul dan tidak diketahui kepentingan mereka," katanya.

Tambahnya lagi di dalam usul tersebut, "pihak ketiga" yang dimaksudkan oleh Musa juga tidak diketahui dengan jelas.

"Ini boleh menyebabkan spekulasi di kalangan rakyat mengenai status pihak ketiga tersebut. Siapa pihak ketiga itu, adakah mereka orang politik parti pemerintah? Adakah mereka ini kumpulan yang terlibat dengan kongsi gelap atau kumpulan jenayah? Siapa mereka?" soalnya.

Bekas tahanan ISA hilang ganti rugi RM2.5 juta

Seorang bekas tahanan menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hilang ganti rugi RM2.5 juta setelah Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan tuntutan samannya.

Hakim Md Raus Shariff yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan bahawa penahanan Abdul Malek Hussein adalah sah dan menolak semua dakwaan yang dia diseksa semasa dalam tahanan.

Dua hakim lain yang itu ialah hakim mahkamah persekutuan - Sulong Matjeraie dan Ahmad Maarop.

Berikutan keputusan itu, Abdul Malek (kiri) tidak layak mendapat sebarang pampasan kewangan tetapi sebaliknya diarahkan oleh Mahkamah Rayuan untuk membayar kos RM50,000.

Sementara itu, Abdul Malek berkata beliau akan membawa kesnya itu ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan hari ini.
Abdul Malek, ditangkap dan mendakwa dia diseksa oleh kerajaan pada tahun 1998.
Beliau kemudiannya memfailkan saman pada Mac 1999, terhadap anggota cawangan khas, Borhan Daud; Ketua Polis ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor dan kerajaan Malaysia.
Pada 2007, hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan penahanan Abdul Malek ketika demonstrasi reformasi itu dibuat dengan niat jahat berdasarkan Artikel 5, Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah juga menganugerahkan gantirugi RM2.5 juta kepadanya.

P’raya PBT: Selangor dedah surat SPR kepada umum


P’raya PBT: Selangor dedah surat SPR kepada umum
Harakahdaily   
SHAH ALAM, 24 Mac: Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk menyiarkan kepada umum surat yang dihantar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada Menteri Besar berhubung cadangan untuk mengadakan pilihan raya peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, tindakan itu bagi membolehkan orang ramai memahami isu tersebut secara mendalam.
Tegasnya, surat SPR itu bukan noktah akhir kerana kerajaan negeri akan terus berusaha mencari jalan atau kemungkinan lain yang membolehkan pilihan raya PBT diadakan.
“Kita membincangkan isu ini dalam Mesyuarat Exco hari ini dan memutuskan jalan terbaik ialah dengan mencari pilihan lain dari sudut yang berbeza.
“Kami percaya dalam sebuah negara yang matang, fungsi sesebuah kerajaan perlu didemokrasikan dan ini baik kerana rakyat mempunyai banyak pilihan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.
Pada 11 Mac lalu, beliau menulis surat kepada SPR untuk mendapatkan pandangan mengenai pilihan raya kecil PBT selain meminta SPR mengadakan kajian menyeluruh untuk kepentingan rakyat khususnya di Selangor.
Dalam surat setebal 11 muka surat bertarikh 23 Mac 2010 itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberikan maklumat dari perspektif perundangan dan had batasan berkaitan cadangan mengadakan pilihan raya PBT di negeri ini.
Beliau membuat kesimpulan bahawa SPR dan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya peringkat PBT bagi memilih ahli majlis.
Abdul Aziz juga berkata, SPR tidak boleh menjalankan kajian dan analisis seperti yang diminta Selangor kerana ia bukan bidang kuasa SPR seperti termaktub dalam Perlembagaan dan Akta Pilihan Raya 1957.

Sivarasa: 'KPN tiada ijazah undang-undang'

Satu laporan polis dibuat terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang didakwa memberikan pengakuan palsu berhubung kelayakannya pada perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Menurut laporan polis yang dibuat oleh peguam Anwar, R Sivarasa, Musa, pegawai penyiasat dalam kes itu memberitahu mahkamah ketika itu bahawa dia mempunyai ijazah sarjana muda dalam undang-undang.

Bagaimanapun, dalam satu lagi perbicaraan yang membabitkan kes rasuah bekas Pengarah Sisatan Jenayah Perdagangan, Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff pada tahun 2009, Musa memberitahu mahkamah dia memiliki “diploma dalam undang-undang dan pengajian pengurusan”.

“KPN telah memberikan kenyataan palsu dengan mengatakan dia memiliki ijazah undang-undang ketika disoal balas dalam kes Anwar, sedangkan hakikatnya dia hanya mempunyai diploma dalam undang-undang,” kata Sivarasa ketika dihubungi.


sumber : http://www.malaysiakini.com/news/127376

Yip tarik balik surat letak jawatan

ADUN Titi Tinggi, Yip Sun Onn telah menarik balik surat peletakan jawatannya lewat petang ini, melalui SMS kepada Speaker DUN Perlis, Datuk Yazid Mat.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Yazid mengesahkan bahawa beliau menerima SMS dari Yip pada kirak-kira jam 7 malam ini.
Ekoran keputusan Yip itu, beliau berkata, kerusi DUN Titi Tinggi tidak kosong "dan masih ada orangnya".
Menurut Yazid, dalam SMS tersebut, Yip berkata beliau telah menyedari dan menginsafi tindakannya meletakkan jawatan sebelum ini.
"Katanya, beliau lebih mementingkan parti dan penyokongnya di kawasannya dan di negeri Perlis," kata Yazid.
Menjawab soalan, Yazid menegaskan bahawa Yip menarik balik peletakan jawatannya atas kehendaknya sendiri dan bukan kerana ada sebarang janji yang ditawarkan.
Isnin lalu, Pada Yip, 52 menghantar surat peletakan jawatan sebagai ADUN Titi Tinggi kerana kecewa tidak dilantik semula memegang jawatan exco kerajaan negeri Perlis.

Tempatnya digantikan oleh ADUN Indera Kayangan, Dr Por Choo Chor.

PKR balas salakan 'anjing penyerang' BN

Setiauasaha agung PKR Saifuddin Nasution (bawah) hari ini melabelkan empat bekas ahlinya yang kini menjadi ahli parlimen bebas, khususnya Datuk Seri Mohd Zahrain Hashim (Bayan Baru) sebagai 'anjing penyerang' Barisan Nasional.

"Mereka digunakan sebagai 'anjing penyerang', 'askar upahan',” kata Saifuddin ketika sidang media di lobi parlimen.

Katanya, MP bebas itu kini adalah senjata terbaru BN untuk menyerang Pakatan Rakyat kerana terlalu sedikit MP Bn yang mampu berbuat demikian.

Semalam, ucapan sulung Zahrain selaku wakil rakyat Bebas yang mendedahkan punca beliau meninggalkan PKR, menyebabkan suasana persidangan Dewan Rakyat bertukar kecoh.

Malah kurang lima minit selepas bekas pengerusi PKR Pulau Pinang itu berucap mulai jam 5.05 petang semalam, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak keluar Dewan selepas Zahrain (bawah) mengaitkan Anwar dengan kegagalan pakatan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan melalui perancangan "16 September".
'Pemimpin Umno hidangkan arak'
Bagaimanapun menurut Saifuddin, fenomena itu hanya halangan kecil dan tidak akan mengalihkan perhatian Pakatan daripada musuh sebenar mereka - Umno dan BN.

“BN adalah musuh politik utama kita. Kita berdepan dengan pembunuh Altantuya, kita menghadapi mereka yang merompak kekayaan rakyat dan kita berdepan juga dengan kerajaan yang mengamalkan rasuah,” katanya.

Saifuddin juga mendakwa dia didatangi oleh seorang anggota kanan MP Umno yang juga seorang menteri kabinet dan diberi amaran agar menghentikan membuat pendedahan yang memalukan Umno dan BN.

Menteri kanan itu dikatakan tidak senang dengan kenyataan Saifuddin di Dewan Rakyat semalam bahawa ada pemimpin Umno yang menghidangkan minuman keras pada ulang tahun perkahwinannya.

Saifuddin juga memberitahu Dewan Rakyat dalam satu lawatan yang dianjurkan oleh Umno ke amerika syarikat, seorang pemimpin parti itu tertidur di kasino dan gagal mengikuti rombongan berkenaan.

Ghapur: Zahrain penipu besar

Ahli parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh, yang dinamakan sebagai satu daripada lapan MP yang akan berpaling tadah kepada pembangkang pada 16 Sept membidas Datuk Seri Zahrain Hashim yang didakwa menipu di Dewan Rakyat.

Bekas MP PKR yang mengisytiharkan dirinya sebagai ahli bebas itu, minggu lalu mendedahkan bahawa Abdul Ghapur yang mewakili Umno Sabah dinamakan antara kumpulan berkenaan.

Menurut Ghapur, Zahrain telah melakukan satu penipuan besar.

Sehubungan itu, beliau mahu ahli parlimen dari Bayan Baru itu segera menarik semula kenyataannya dan menyenaraikan mereka yang dikatakan akan berpaling tadah itu.

Abdul Ghapur juga mencabar Zahrain mendedahkan nama 30 MP yang dikatakan akan menyertai ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rancangan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional, jika apa yang didakwanya sebelum ini adalah benar.

Beliau juga memberi amaran kepada Umno agar tidak menerima Zahrain sebagai ahlinya kerana jika bekas ketua PKR Pulau Pinang itu sanggup berpaling tadah terhadap Anwar, dia juga, katanya, suatu hari nanti akan menikam pemimpin BN juga.
Selain Ghapur (kiri), MP dari Sabah yang dinamakan oleh Zahrain ialah Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau) dan Datuk Eric Majimbun (Bebas-Sepanggar).

Nama lain yang disebut ialah Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut) dan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang).
Zahrain juga mendakwa seorang timbalan speaker juga dikatakan akan menyertai PKR.

Tarif air: Kedah 40 sen, Sabah 90 sen seliter padu


Tarif air: Kedah 40 sen, Sabah 90 sen seliter padu
 
Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

PENDANG – Dakwaan kerajaan negeri Kedah telah menswastakan urusan bekalan air serta dan menaikkan kadar tarif air di negeri ini satu pembohongan, demikian tegas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yb. Dato’ Ir Haji Amiruddin Hamzah kepada hadirin yang datang pada siri penerangan kerajaan negeri yang diadakan di dewan Majlis Daerah Pendang.
 
Menurut beliau, bagi memastikan perkhidmatan bekalan air menjadi bertambah baik, kerajaan negeri memutuskan untuk urusan tersebut ditadbir sebagai sebuah syarikat bermula 1 Januari 2010.

Oleh itu jelas beliau, pengkorporatan urusan bekalan air tersebut dari Jabatan Bekalan Air ke Syarikat Air Darul Aman (SADA).

“Ini yang mereka kata kita swastakan? Sada ini sahamnya 100 peratus dipegang kerajaan negeri. (Jadi) swasta macam mana? Kita tidak swastakan cuma ia diurus tadbir sebagai sebuah syarikat. Sebagai syarikat tatakerja menjadi lebih cepat, kurang prosedurnya.

“Yang menswastakan perkhidmatan air (ini) ialah kerajaan dahulu yang memerintah Kedah. Kerajaan dahulu telah menswastakan rawatan bekalan air kepada Syarikat Air Utara Indah,” ujarnya menjelaskan perbezaan antara penswastaan dengan pengkorporatan.

Sedangkan rawatan air katanya, merupakan bahagian paling mudah dalam urusan perbekalan air berbanding kerja-kerja penyaluran, perpaipan, pembaikan, penyiasatan dan seumpamanya yang sangat sukar.

“Kerajaan dahulu juga menswastakan bekalan air di Langkawi. Beban itu hari ini kerajaan sekarang yang tanggung.

“Langkawi ini kosnya kalau kita buat sendiri di bawah SADA akan lebih efisyen. Masa itu (sebelum diswastakan) kosnya hanya 70 sen seliter padu, tiba-tiba bila swasta harganya melambung RM1.92 seliter padu. Ini cerdikkah?” tempelak Amiruddin pada.

Maklumnya, kesan penswastaan dilakukan itu menyebabkan kerajaan negeri perlu menanggung tambahan kos sebanyak RM5juta berbanding hasil yang dikutip setiap tahun.

Amiruddin yang juga Ahli Lembaga Pengarah Sada turut menyangkal dakwaan bahawa tarif air dinaikkan melalui pengkorporatan tersebut.

Ujar beliau, sekiranya kerajaan negeri ingin menaikkan tarif air, tindakan itu sememangnya wajar memandangkan kali terakhir tarif air negeri ini disemak adalah pada tahun 1983. Pun begitu tegasnya, kerajaan negeri tidak akan menaikkan tarif tersebut.

Maklum beliau, pada ketika ini tarif air di Kedah merupakan kedua terendah di Malaysia iaitu 40 sen seliter padu.

“Paling tinggi, negeri yang kononnya paling maju, negeri Menteri yang komen kita mundur baru ni. Sabah, 90 sen seliter padu, sekali ganda Kedah kerana dia maju dan ‘sempurna’. Kemudian Melaka 63 sen, Johor 61 sen,” ujarnya menyindir.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri Kedah sudahpun berkorban dengan tidak menebang balak dipinggir kawasan tadahan air demi menjaga kepentingan bekalan air untuk kegunaan yang pelbagai.

Bagaimanapun katanya, persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk membayar RM100 juta setahun atas ‘pengorbanan’ tersebut masih tidak ditunaikan sehingga kini.

Mengakhiri ucapan, beliau berharap agar maklumat itu disebarluaskan untuk menjawab pembohongan yang sengaja diada-adakan.

Dua muka baru dalam barisan Exco


Dua muka baru dalam barisan Exco
 
Oleh: AMELIA HASHIM

ANAK BUKIT, 10 Mac:  Seramai sepuluh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah termasuk dua muka baru telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah di Istana Anak Bukit, hari ini.
 
Dua  muka baru yang dilantik ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Air Hitam YB Ustaz Abdul Ghani Ahmad yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah dan ADUN Kawasan Sidam YB Tan Joo Long @ Tan Chow Kang.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan isteri, Yang Teramat Mulia (YTM)  Tunku Bendahara dan Tok Puan Bendahara, YTM Tunku Temenggong dan YTM Tunku Laksamana.

Ahli Exco yang baru dilantik ialah YB Ustaz Abdul Ghani Ahmad yang memegang portfolio Penerangan dan Pembangunan Usahawan. Manakala YB Tan diberi portfolio Alam Sekitar dan Hal Ehwal Masyarakat Cina.

Menteri Besar YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan sendiri kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi & Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri, Keselamatan Negeri, Kewangan dan Syarikat Milik Kerajaan.
Lain-lain Ahli Exco dan portfolio adalah seperti berikut:

    * YB Dato’ Phahrolrazi Haji Zawawi menjadi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan &
       Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar & Basmi Kemiskinan.

    * YB Dato’ Haji Mohamed Taulan Mat Rasul Pengerusi Jawatankuasa Agama,
       Pelajaran dan Koperasi.


    * YB Dato’ Ir Amiruddin Haji Hamzah Pengerusi Jawatankuasa Industri &
       Pelaburan Pertanian,  Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air,
       Sumber Air dan Tenaga.


    * YB Dr Hamdan Mohamed Khalib Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan, Kesenian
       &  Warisan, Kebudayaan.


    * YB Ustazah Siti Hajah Ashah Ghazali Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan
       Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat.


    * YB Dr Ismail Salleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-Badan Bukan
       Kerajaan dan Pembangunan Insan, Sains & Inovasi, Teknologi Maklumat
       dan Komunikasi.


    * YB  Manikumar Subramaniam kekal dengan portfolio lamanya sebagai 
       Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Hal Ehwal Masyarakat India dan
       Hal Ehwal Masyarakat Siam.


    * YB Lim Soo Nee Penegrusi Jawatankuasa Perdagangan dalam Negeri &
       Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan pengurusan Sumber Manusia.


Majlis angkat sumpah dan menandatangani surat sumpah disaksikan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar Dato’ Azman Husain dan Ketua Hakim Mahkamah Syariah Dato’ Syeikh Uszir Baharom.

Dua jurutera, dua doktor dan dua peguam dalam barisan Exco


Dua jurutera, dua doktor dan dua peguam dalam barisan Exco
 
Oleh: AMELIA HASHIM

ANAK BUKIT, 10 Mac:  Menteri Besar YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan yakin bahawa barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dipilihnya mampu menjalankan tugas dengan lebih efisien memandangkan latarbelakang pendidikan mereka.
 
Bercakap dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah Exco di Istana Anak Bukit, beliau memberitahu bahawa dalam barisan Exconya terdapat dua orang jurutera YB Dato’ Ir Phahrolrazi Haji Zawawi dan YB Dato’ Ir Amiruddin Haji Hamzah, dua orang doktor perubatan YB Dr Hamdan Mohamed Khalib dan YB Dr Ismail Salleh dan dua orang peguam iaitu YB Dato’ Haji Mohamed Taulan Mat Rasul dan YB Ustaz Abd Ghani Ahmad.

Manakala YB Asyah Haji Ghazali berkelulusan Diploma Tasawur Islam,  YB S. Manikumar memegang ijazah dari Universiti Utara Malaysia, YB Lim Soo Nee Diploma Pembangunan dari ICS Singapura dan YB Tan Chew Kang memiliki Diploma Pertanian dari Universiti Taiwan.

“Ini bukan bermakna yang digugurkan tidak baik. Semuanya baik tetapi kita memilih yang lebih baik. Mereka bukan digugurkan tetapi akan diberi tugas lain,” katanya.  

Menurut Azizan, Kedah berbeza dengan negeri-negeri lain kerana pelantikan Exco diadakan setahun sekali.

“Ini adalah kehendak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan supaya setiap ahli Exco dinilai prestasi kerjanya setiap tahun,” ujarnya.

Menteri Besar itu meminta supaya semua pihak beri pandangan kepada ahli Exco.

“Saya sentiasa terbuka dan ambil pandangan orang ramai. Kalau yang tidak  betul kita perbetulkan dan ambil langkah-langkah perlu. Sekarang di tahap kemaskan lagi untuk setahun akan datang. Itupun kalau masih ada kerajaan kalau tidak ada wakil rakyat yang  lari,” katanya bergurau.

Mengenai ketidakhadiran YB Tan Wei Syu pada majlis angkat sumpah itu katanya,  Tan sudah memaklumkan kepadanya bahawa beliau tidak sihat.

Berhubung jawatan Timbalan Speaker yang dikosongkan Abdul Ghani, katanya, jawatan itu akan dipilih dari kalangan ADUN pada mesyuarat Sidang Dewan Undangan Negeri akan datang.

Menjawab soalan pemberita mengenai status kewangan negeri, katanya, Kerajaan  Negeri boleh bayar gaji semua kakitangannya dan sekarang giat membina kampus induk Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil. Selain itu kerajaan juga mampu laksanakan program Kafalah dan beri duit raya kepada kaum China dan India.

“Kalau kerajaan tak ada duit tak boleh bagi duit  raya orang India dan Cina. Saya bagi ertinya kerajaan ada duit. Kakitangan kerajaan dapat bonus. Hasil bumi bertambah. Tetapi tengoklah ada  hasil dapat sekarang dan ada yang kemudian. Dalam politik kena sabar. Tunggu dan lihat,” katanya.