Untuk Aljazira Tv klik webtv

Kerajaan Pusat buat dan jemput, kita akan pie..Tapi bila Kerajaan kita buat dan dia tak mau mai - MB

SUNGAI PETANI 22 Julai - Kerajaan Kedah tetap berupaya menjalankan projek-projek pembangunan pertanian meskipun tidak mendapat kerjasama daripada pegawai dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pihaknya juga tidak menghadapi sebarang masalah sekiranya tidak mendapat peruntukan daripada kementerian terbabit memandangkan ada syarikat-syarikat swasta masih berminat membantu.

''Itu hak dia, kita apa boleh buat. Saya tak berasa apa-apa, terpulanglah. Saya dalam bidang kuasa saya dan kita ada cara kita.

''Tanpa kerjasama dan bajet daripada Kementerian Pertanian pun kita boleh buat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kedah Sejahtera dan Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kedah di Padang Awam Bandar Laguna Merbok, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas arahan yang di keluarkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar semalam yang melarang semua pegawai agensi dan jabatan di bawah kementeriannya menghadiri sebarang mesyuarat atau kursus anjuran kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang, berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Noh, arahan itu dikeluarkan ekoran kegagalan kerajaan negeri menyumbang dana atau bantuan kepada jabatan dan agensi di bawah kementerian itu.

Beliau menegaskan, kehadiran pegawai di bawah kementeriannya ke mesyuarat atau kursus di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang hanya membuang masa tanpa ada sebarang usaha boleh dilakukan demi kebaikan rakyat.

Azizan berkata, beliau lebih bersifat terbuka dalam penganjuran pelbagai program atau mesyuarat yang melibatkan Kerajaan Persekutuan.

''Apa saja Kerajaan Pusat buat dan jemput, kita akan turut serta. Tapi bila Kerajaan kita buat dan dia tak mau mai (datang),

itu hak dia, (program) kita jalan macam biasa," katanya.

Mengenai dakwaan bahawa kerajaan negeri gagal menyumbang dana atau bantuan kepada jabatan, Azizan memberitahu, isu tersebut tidak timbul memandangkan di Kedah, gaji semua pegawai Jabatan Pertanian dibiayai oleh Kerajaan Negeri.

''Kita memang bagi peruntukan. Gaji pun kita bayar tiap-tiap bulan," jelasnya.

Beliau berkata, Noh patut menilai semula tindakannya memandangkan ia bercanggah dengan hasrat Kerajaan Persekutuan sebelum ini beria-ia untuk memajukan bidang pertanian dan menambahkan keluaran makanan negara.