Untuk Aljazira Tv klik webtv

Ketua cawangan UMNO cabar lapor SPRM dibuat ..

HIHIHIH UMNO LAWAN UMNO LA NIE..

SEREMBAN – Ketua UMNO cawangan Sikamat, Datuk Md Yusop Harmain Shah mencabar seorang pemimpin UMNO bahagian membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan beliau ‘menggelapkan’ wang peruntukan sebuah masjid di sini.

Beliau melontar cabaran itu pada Persidangan Perwakilan UMNO bahagian Seremban, di Dewan Theatrette, Wisma Negeri kelmarin selepas pemimpin terbabit mengeluarkan kenyataan memburukkannya ketika berucap pada sesi penggulungan.

Pada ucapan itu, Md Yusop dikatakan dituduh menggunakan peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk membeli kereta jenazah menyebabkan dia mencabar pemimpin terbabit membuat laporan di Pejabat SPRM Seremban pada jam 9 pagi esoknya (semalam).

Berikutan itu, semalam Md Yusop yang juga Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO negeri menunggu di hadapan Pejabat SPRM di Jalan Datuk Klana Maamor, di sini untuk menanti pemimpin terbabit membuat laporan berhubung dakwaan itu.

Bagaimanapun, selepas menunggu hampir sejam, tiada seorang pun yang kelihatan memasuki Pejabat SPRM negeri untuk membuat laporan menyebabkan Md Yusop menyifatkan tuduhan itu tidak berasas dan sengaja diada-adakan.

Ketika ditemui di luar pejabat SPRM negeri, Md Yusop mengakui amat kecewa dengan dakwaan mengatakan beliau menggelapkan wang peruntukan untuk membeli kereta jenazah di sebuah masjid ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat.

“Saya kesal kerana dia berucap memfitnah dan menghina saya, menuduh saya salah guna kewangan bagi membeli sebuah kereta jenazah bernilai RM250,000. Saya usik pun tidak wang itu. Itu merupakan satu pembohongan bagi memburukkan nama saya,” katanya.

Menurutnya, isu berkenaan sebenarnya sudah lama tersebar apabila cadangan membeli kereta jenazah untuk kegunaan sebuah masjid di Sikamat tidak menjadi kenyataan disebabkan peruntukan yang terhad.

“Memang dalam kertas kerja ada dinyatakan hasrat itu, Tetapi kita tak jadi beli kerana tidak punyai cukup wang selepas menggunakannya untuk tujuan lain seperti menambah baik masjid yang lebih memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan rasa kecewa dengan tuduhan tersebut sehingga terbawa kepada mesyuarat perwakilan lalu, beliau bertindak mencabar pemimpin berkenaan melaporkan ke SPRM bagi membuktikan kebenaran.

“Nampaknya, tiada seorang pun yang datang ke pejabat SPRM ini untuk membuat laporan. Ini membuktikan apa yang didakwa kepada saya sebenarnya ‘cakap kosong’. Kalau betul, apa perlu takut untuk meminta SPRM siasat. Jangan jaja cerita ke hulu hilir mengatakan saya ‘menggelapkan’ wang rakyat,” katanya.

Md Yusop berkata, beliau tidak gentar sekiranya SPRM mahu menyiasat dirinya berhubung kes itu kerana percaya dengan kemampuan badan itu menjalankan tugas dan tidak sepatutnya takut sekiranya benar tidak melakukan kesalahan
[http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2995661.asp]