Untuk Aljazira Tv klik webtv

Murid KAFA belajar di padang - Jawatankuasa penduduk halang guna surau


MURID-MURID KAFA terpaksa belajar di padang selepas didakwa dihalang daripada menggunakan surau di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang semalam.


KLANG - Seramai 58 orang murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang semalam terpaksa belajar di padang selepas didakwa disekat daripada memasuki surau Assaudin yang dijadikan kelas sementara sejak dua tahun lalu.

Mereka juga terpaksa menikmati makanan pada waktu rehat di lokasi yang sama.

Seorang bapa, Azman Hashim ketika ditemui berkata, dia kesal dengan sikap jawatankuasa penduduk di situ yang berkeras mahu mengosongkan surau walaupun penggunaannya untuk kelas KAFA mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sementara menunggu kelas baru siap.

"Jawatankuasa penduduk mahu surau itu dikosongkan dengan alasan hendak mengaktifkan kembali aktiviti jemaah sedangkan perumahan di sini dekat dengan masjid.

"Dalam mesyuarat bersama jawatankuasa baru-baru ini, saya telah minta mereka tangguhkan dahulu pengambilalihan surau tetapi mereka tetap berkeras," katanya.