Untuk Aljazira Tv klik webtv

PAS Selangor kesal kaedah soal-siasat SPRM terhadap Beng Hock

PAS Selangor merakamkan kesal dan dukacita di atas kematian "misteri" Setiausaha Politik kepada ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah iaitu mendiang Teoh Beng Hock yang dijumpai mayatnya yang dikatakan terjatuh dari Pejabat SPRM Selangor di Bangunan Plaza Masalam, Shah Alam.

Adalah sangat dikesali apabila SPRM baru bangkit untuk membina nama dalam kerja-kerja pembenterasan rasuah dalam negara, tiba-tiba namanya dikaitkan dengan kematian "misteri" ini.

PAS Selangor kesal bagaimana SPRM Selangor boleh menjalankan soal-siasat ke atas mendiang yang dikategorikan sebagai seorang saksi dan bukannya suspek, dari jam 5 petang membawa ke 3.45 pagi.

Soal-siasat dalam waktu yang luar biasa ini menambahkan pelbagai spekulasi dan kecurigaan yang hanya mengeruh dan memburukkan lagi imej SPRM dan kerajaan Malaysia.

PAS Selangor tidak berhasrat menghalang mana-mana pihak berwajib dalam menjalankan tugas-tugas mereka sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang, walau bagaimanapun segala proses dan prosedur yang ada perlulah dipatuhi dan bebas dari sebarang prasangka yang hanya akan menghilangkan keyakinan rakyat terhadap badan dan agensi kerajaan.

Sesungguhnya kematian "misteri" mendiang Teoh sungguh mencurigakan dan membangkitkan keluh-kesah di hati rakyat, oleh itu PAS Selangor mendesak agar pihak kerajaan segera membentuk sebuah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat sehingga ke akar umbi kejadian malang ini, dan mudah-mudahan penemuan mereka nanti dapat meyakinkan rakyat dan menghilangkan segala tohmahan dan spekulasi liar yang bermain di kalangan masyarakat dalam negara kita hari ini.

PAS Selangor turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan mendoakan semoga kematian "misteri" seumpama ini tidak lagi berulang.
---
Roslan Shahir bin Dato' Mohd Shahir ialah Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor
[http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=21828&Itemid=1]