Untuk Aljazira Tv klik webtv

Peniaga Melayu beli RM500,000 seunit lot niaga di Rantau Panjang


RANTAU PANJANG, 22 Julai (Hrkh) - Biar pun negara masih dilanda kemelesetan ekonomi namun ia tidak menghalang Perbadanan Kemajuan iktisad Negeri Kelantan (PKINK) membangunkan pekan Rantau Panjang dengan projek bernilai RM7 juta.

Projek rumah kedai itu akan dimajukan Sinaran Pantai Timur Consortium Bhd membabitkan pembinaan rumah kedai 3 tingkat berjumlah 10 unit.

Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob berkata, walaupun harga yang ditawarkan melebihi RM500,000 seunit, namun semuanya sudah ada pembeli.

Menurutnya lebih membanggakan lagi apabila pembelinya sebahagian besarnya orang Melayu yang sudah berjaya dalam perniagaan.

Kata beliau sebelum ini PKINK berjaya menyiapkan fasa 1 pembinaan deretan kedai termasuk Bazar Abdul Rahman Auf yang mempunyai 250 ruang niaga.

"PKINK juga bercadang membangunkan sebuah hotel di tapak seluas dua ekar.

"Dan apabila siap nanti pekan Rantau Panjang akan menjadi tempat persinggahan yang strategik untuk pelancong dari luar negara," katanya pada majlis pecah tanah dan solat hajat di tapak pembinaan fasa kedua di pekan Rantau Panjang hari ini.

Menurutnya juga kejayaan PKINK menjual kesemua unit kedai tersebut menggambarkan kemelesetan ekonomi yang melanda negara tidak menjejaskan perkembangan perniagaan di Kelantan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, pembangunan yang dijalankan PKINK di Rantau Panjang mempercepatkan lagi usaha menjadikan pekan itu sebagai Bandar Pelancongan utama di Kelantan.

"Kerajaan negeri telah menerima sejumlah RM12 juta dari Kementerian Pelancongan bagi membangunan pekan Rantau Panjang sebagai bandar pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai lagi pelancong asing ke negara ini," ujar beliau.

Katanya, dengan adanya bazar yang akan menjual pelbagai barangan dan Masjid Beijing akan menjadi tarikan utama pelancong ke negeri ini.

Sementara itu Adun Gual Periok, Ustaz Muhammad Awang merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan membangunkan pekan tersebut sebagai bandar pelancongan.

Hadir sama pada program itu Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nasuruddin Daud, anggota Parlimen Rantau Panjang, Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Haji Mohd Sobri Abdullah. - mj