Untuk Aljazira Tv klik webtv

Polis, MPSP turunkan iklan ceti haram


MOHAMAD SHAH bersama kakitangan MPSP menurunkan pelbagai jenis poster dan iklan ah long di sekitar Bandar Sunway, Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam

SEBERANG JAYA - Sebagai tindakan menyeluruh membanteras kegiatan ceti haram atau ah long, polis dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bertindak 'membersihkan' poster dan iklan aktiviti haram itu di sekitar Seberang Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Mohamad Shah Hussin Shah berkata, tindakan itu adalah bagi memastikan kegiatan ah long dapat dibendung dengan lebih berkesan.

"Kebanyakan iklan ini ditampal dan digantung di merata tempat terutama lokasi tumpuan orang ramai. Jadi untuk menyekat aktiviti ah long ini, kita ambil langkah menurunkan semua poster dan iklan supaya orang ramai tidak mudah terperangkap," katanya.

Turut serta dalam operasi pembersihan itu ialah Ketua Jabatan Perlesenan MPSP, Mohd. Faidzal Hassan dan kakitangan MPSP.

Menurut Mohamad Shah, polis juga akan mengesan individu atau syarikat yang terlibat dengan kegiatan ah long melalui nombor telefon yang tertera pada setiap iklan yang dipasang untuk tindakan lanjut.