ALOR SETAR, 12 Julai (Hrkh) - Program belia, sukan dan kebudayaan serta kesenian yang mahu dibuat di Kedah tidak mendapat kerjasama dari kerajaan pusat selepas Pakatan Rakyat memerintah negeri ini.
Sedangkan ketika Umno/BN memerintah, kerjasama dibuat dengan pihak pusat menyediakan dana, event management dan di negeri hanya menerima sahaja'pakej program' yang diserah oleh pusat.
Demikian dedah, Exco Belia dan Sukan, Kesenian,Warisan dan Kebudayaan Kedah, Dr Hamdan Mohamed Khalib dalam satu wawancara bersama Harakah di Pejabat Pusat Khidmatnya di Tanjong Dawai dekat sini baru-baru ini.
Ujar Dr Hamdan, semasa Umno/BN memerintah dahulu, pegawai-pegawai dan NGO belia memberi kerjasama untuk melaksanakan program dengan bantuan dana dari kerajaan pusat.
Namun, tiba-tiba selepas Pakatan Rakyat mengambilalih, bantuan disekat malah kerjasama juga dihentikan menyebabkan kesukaran dalam menjalankan program kerana masalah dana, ujarnya.
Dalam kepayahan itu ujarnya, jawatankuasa yang diterajuinya itu cuba menjalankan beberapa program selain merangka program pembangunan belia dengan kekurangan yang ada.
Ujarnya lagi, pihaknya kini merancang untuk membentuk urusetia yang akan menjadi wadah bagi merangka dan melaksanakan program pembangunan belia.
Beliau melihat, banyak program berbentuk pembinaan insan perlu diterapkan selain membudayakan masyarakat belia berilmu, dan ia menjadi agenda utama beliau dalam merangka program belia.
Beliau berazam dengan kudrat dan keterbatasan yang ada, program belia akan tetap diteruskan walaupun mungkin ada sedikit sebanyak kelemahannya nanti.
"Kita buat perlahan-lahan,apa yang penting saya tak mahu banyak bercakap tetapi kalau boleh mahu menjalankan tugas dengan kemampuan setakat yang ada ini untuk jawatankuasa saya ini," tegasnya.
Sementara itu beliau turut mengulas dakwaan bahawa kerajaan Kedah tidak mahu kepada program kebudayaan Islam seperti yang pernah diutarakan sebuah akhbar.
Ujar Dr Hamdan, pihak yang mendakwa itu sebenarnya mempunyai kepentingan peribadi apabila menghantar cadangan menguruskan satu program kebudayaan Islam dengan bajet yang tinggi.
Bukan niat pihaknya untuk menolak program yang ditawarkan itu kerana sememangnya kerajaan negeri mahu membudayakan kesenian dan kebudayaan Islam.
Sebaliknya isu itu disalah tafsir oleh penulis yang sebenarnya mempunyai kepentingan peribadi, dakwanya.
Menurut Dr Hamdan, pihaknya ada merancang festival lagu-lagu Islam antarabangsa untuk membudayakan kesenian Islam, selain banyak program berbentuk menyedarkan belia akan dibuat.
Beliau seterusnya meminta semua pihak agar tidak menuding jari, dalam masa yang sama kerajaan negeri akan mengatasi kelemahan yang ada
[http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=21686&Itemid=1]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan