Untuk Aljazira Tv klik webtv

Sultan Kedah terima Pemakaian Beret Merun, Sayap Penerjunan Kehormat


ALOR GAJAH 8 Julai - Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berupaya memainkan peranan dan tanggungjawab bagi mempertahankan maruah, martabat bangsa, negara dan agama.

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah, seluruh warga batalion mesti berpegang kepada cogan 'Tiada Misi Terlalu Sukar'.

Sehubungan itu baginda mengingatkan, RAMD adalah sebagai benteng pertahanan negara dan perlu mempertahankan panji-panji yang sedia ada.

''Beta yakin dengan komitmen yang dipamerkan oleh saudara-saudara semasa perbarisan dan acara persembahan tadi, jelas menunjukkan sifat keberanian dan kegagahan warga pasukan para," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis Perbarisan Pemakaian Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat di Padang Kawad Batalion ke-17 RAMD Para di Kem Terendak, di sini hari ini.

Baginda yang juga Kolonel Yang Dipertua RAMD menerima Pemakaian Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat yang telah disampaikan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin.

Sebelum itu, baginda memeriksa perbarisan disertai 22 pegawai dan 518 anggota lain-lain pangkat diketuai Pegawai Memerintah RAMD Para, Leftenan Kolonel Fikri Ismail.

Sultan Kedah bertitah, baginda merasa amat kagum dan berbangga dengan sifat kepahlawanan dan percaya RAMD akan menjalankan tanggungjawab mempertahankan negara.

Sementara itu menurut baginda, penyampaian beret merun dan sayap penerjunan adalah satu penghargaan yang amat bererti.

''Sesungguhnya ia sekali gus menyemarakkan semangat Askar Melayu di sanubari beta dan kini beta telah menjadi sebahagian dari anda semua," kata baginda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan