SUNGAI PETANI 8 Julai - Seorang ibu kepada gadis berusia 20 tahun yang dipercayai mengandung tanpa pengetahuan keluarga bertindak membuang mayat cucunya yang baru dilahirkan di dalam tong sampah berdekatan rumah mereka, sebelum ditemui polis awal pagi ini.
Bayi lelaki berusia kira-kira tujuh bulan itu dilahirkan kira-kira pukul 5 pagi di sebuah bilik di rumah gadis itu di Taman Desa Aman 2, Sungai Lalang, dekat sini.
Ibu kepada gadis berkenaan kemudian meninggalkan mayat bayi tersebut di dalam tong sampah berdekatan rumah mereka dan kemudian menghantar anaknya bagi mendapatkan rawatan kerana 'sakit perut' di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, kejadian itu bagaimanapun disedari oleh pihak hospital selepas mengesyaki sesuatu tidak kena pada gadis terbabit.
''Pada awalnya, gadis tersebut dipercayai mengalami pendarahan teruk semasa melahirkan anak. Dia kemudian meminta bantuan ibunya untuk menguruskan.
''Bagaimanapun, bayi terbabit dikatakan telah meninggal dunia. Bagi mengelak diketahui oleh jiran, wanita itu mengambil tindakan membungkus mayat cucunya itu ke dalam plastik hitam dan membuangnya ke dalam tong sampah yang terletak 10 meter dari rumahnya,'' katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut Hashim, selepas anak mereka mengadu sakit, ibu dan bapa kepada gadis berkenaan kemudian membawanya pergi ke HSAH untuk mendapatkan rawatan.
''Apabila tiba di hospital, doktor yang memeriksanya mendapati tali pusat bayi masih tertinggal dalam rahim gadis itu.
''Curiga dengan keterangan yang diberikan, pihak hospital pergi ke rumah suspek untuk melakukan pemeriksaan,'' katanya.
Beliau memberitahu, sepasukan kakitangan HSAH yang bergegas ke rumah keluarga terbabit kemudian menjumpai kesan-kesan kelahiran sebelum melaporkan kepada polis.
''Polis yang menjalankan pemeriksaan menemui mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat dibungkus dalam beg plastik dan diletakkan dalam tong sampah,'' katanya.
Hashim berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 318 kerana menyembunyikan kelahiran.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Katanya, mayat bayi terbabit dihantar ke Jabatan Forensik HSAH untuk bedah siasat manakala pasangan suami isteri berusia sekitar 40-an berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.
''Sementara gadis itu kini ditahan wad hospital untuk rawatan lanjut,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan