Untuk Aljazira Tv klik webtv

aksi lasak di titi hayun

Kawasan peranginan dan rekreasi Titi Hayun, Yan Besar, dekat sini bakal menarik tumpuan pengunjung dalam dan luar negara yang mengambil bahagian dalam Saingan Cabaran Belantara Kedah Jamboree 2009 dari 7 hingga 9 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan Kebudayaan Negeri, Dr. Hamdan Mohamed Khalib memberitahu, acara lasak kenderaan pacuan empat roda (4x4) itu bakal menyaksikan saingan hebat peserta-peserta berpengalaman.

''Kemuncak saingan ialah merebut trofi Mr. Offroad dan keseluruhannya sebanyak RM15,000 disediakan sebagai hadiah untuk para pemenang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai acara berkenaan, di Wisma Darulaman di sini, semalam.

Menurut Dr. Hamdan, saingan tersebut dianjurkan oleh Mr. Offroad Adventure (M) Sdn. Bhd. dengan kerjasama kerajaan Kedah dan beberapa syarikat termasuk Lexwel, Kedah Corporation.

Beliau memberitahu, antara peserta luar negara yang menyertai saingan itu ialah dari Thailand, Singapura, Taiwan dan China.

''Jika sebelum ini, saingan seumpama ini diadakan di Kuala Ketil, kali ini kita tumpu kepada tempat lain yang juga menarik seperti Titi hayun, sekali gus dapat mempromosikannya sebagai destinasi pelancongan menarik di Kedah.

''Kita dapati salah satu cara untuk menarik pengunjung ke Kedah ialah menerusi sukan pelancongan dan sukan lasak seperti saingan pacuan empat roda ini boleh dijadikan landasan ke arah matlamat tersebut," tambah beliau.