Untuk Aljazira Tv klik webtv

MKK terima elaun Januari hingga Jun

SUNGAI PETANI - Sebanyak RM581,400 telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri kepada Pejabat Daerah Kuala Muda sebagai elaun kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) di daerah ini dalam dua majlis yang diadakan bagi Parlimen Sungai Petani dan Parlimen Merbok.

Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Abdullah Mat Akhir berkata, elaun tersebut diberikan sejak tertangguh dari Januari hingga Jun tahun ini iaitu sebanyak RM300 sebulan dan seorang MKK mendapat elaun sebanyak RM1,800 bagi tempoh itu pada majlis yang berasingan dijalankan.

Menurutnya, bagi Parlimen Sungai Petani yang membabitkan MKK dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Merdeka, Sidam Kiri dan Bakar Arang, satu majlis diadakan di Pejabat Daerah Kuala Muda pada Selasa lepas dan bagi majlis pemberian elaun untuk Parlimen Merbok yang membabitkan MKK DUN Bukit Selambau, Tanjung Dawai dan Gurun pula diadakan di sebuah hotel di sini, kelmarin.

“Seramai 323 MKK telah menerima elaun sebagai MKK yang telah dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Negeri Kedah kepada Pejabat Daerah Kuala Muda dalam usaha untuk menjelaskan bayaran yang telah dijanjikan.

“Saya berharap selepas ini MKK akan menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan di bawah pemantauan Pejabat Daerah Kuala Muda dan :pemberian elaun ini juga membabitkan DUN Gurun yang di bawah Parlimen Jerai memandangkan Gurun adalah di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Kuala Muda,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Penyampaian Elaun MKK Parlimen Merbok yang diadakan di Hotel Seri Malaysia, Rabu lalu.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Dr Hamdan Mohamed Khalib dan ADUN Bukit Selambau, S Manikumar.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata, MKK juga disarankan untuk merangka program yang lebih fleksibel tanpa mengharapkan peruntukan daripada Pejabat Daerah Kuala Muda ke arah konsep Kedah Sejahtera.

Menurutnya, MKK harus lebih matang dan mantap dalam menghadapi urusan yang berkaitan dengan kawasan masing-masing dan membawa masyarakat dan keluarga dalam satu wadah yang sempurna untuk kesejahteraan rakyat.

“Pejabat Daerah Kuala Muda tidak mempunyai banyak peruntukkan untuk disalurkan dalam usaha untuk membantu MKK melaksanakan program dan aktiviti yang telah diusulkan kepada pihak kami dan saya berharap MKK mengambil langkah yang lebih proaktif dan fleksibel dalam usaha untuk menggerakkan masyarakat ke arah konsep yang digariskan iaitu Kedah Sejahtera,” katanya.