Untuk Aljazira Tv klik webtv

SPR Minta Parti Patuh Arahan Berkempen

August 14, 2009 22:34 PM

PULAU PINANG, 14 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta semua calon dan wakil ejennya supaya mematuhi peraturan sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir khususnya semasa bulan Ramadan.

Setiausaha SPR Datuk Ngah Senik berkata parti politik dan penyokong calon yang terbabit dalam aktiviti kempen supaya mematuhi arahan SPR dan tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang.

"Hanya parti yang bertanding sahaja dibenar memasang lambang parti semasa tempoh berkempen selepas hari penamaaan calon Isnin ini," katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Bagi mengelak kesesakan lalulintas dan memelihara ketenteraman awam, semua parti yang bertanding diminta supaya tidak membawa penyokong yang ramai ke pusat penamaan calon di dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam, Isnin ini, katanya.

Ngah menjelaskan memandangkan penularan wabak influenza A(H1N1) yang semakin serius, Pejabat Kesihatan Daerah akan menempatkan pegawai perubatan di dewan IKBN bagi memantau keadaan semasa hari penamaan calon.

SPR menetapkan hari mengundi pada 25 Ogos ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Mohd hamdan Abdul Rahman, 63, daripada PAS, pada 31 Julai lepas.

"Orang ramai dinasihatkan memakai penutup mulut dan hidung ketika berada di pusat penamaan calon dan pusat mengundi pada hari yang berkenaan," kata Ngah.

Beliau berkata SPR akan membuka enam kaunter semakan di kawasan Permatang Pasir bagi memudahkan pengundi membuat semakan seperti nama pusat mengundi, nombor saluran mengundi dan nombor siri pemilih.

Semakan juga boleh dibuat dengan menghubungi SPR di talian 03-88856500 dan Pejabat Pulau Pinang di 04-2617692, laman web di www.spr.gov.my atau melalui SMS dengan menaip SPRSEMAKNO KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888.
-- BERNAMA