Untuk Aljazira Tv klik webtv

MB cadang SAR tubuh koperasi

ALOR SETAR - Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini disaran supaya menubuhkan koperasi yang bertindak sebagai pengumpul dana bagi menjalankan aktiviti dan pentadbiran sekolah.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, memandangkan SAR tidak mendapat peruntukan kewangan daripada mana-mana pihak, adalah wajar koperasi ditubuhkan bagi mencari saluran dana agar tidak bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai.

“Sekiranya ada koperasi, SAR boleh mengumpul sumber kewangan sendiri dengan menjalankan pelbagai aktiviti. Antaranya penternakan ikan keli, pertanian dan apa jua projek bersama,” katanya ketika berucap pada majlis sumbangan kepada Sekolah Agama Rakyat Negeri Kedah di Seri Mentaloon, di sini, semalam.

Pada majlis itu, RM600,000 diagihkan kepada 21 buah SAR di bawah Unit Hal Ehwal Sekolah Agama (HESA). Setiap sekolah menerima sumbangan antara RM15,000 hingga RM46,000 bergantung pada keperluan.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah, Datuk Syeikh Uzir Baharom.

Azizan berkata, sekiranya koperasi SAR ditubuhkan, Kerajaan Negeri akan cuba membantu menyalurkan produk keluaran tempatan yang diusahakan oleh koperasi itu untuk memasuki pasaran.

“Kerajaan kini sedang meningkatkan pasaran antarabangsa. Sekiranya keluaran tempatan berjaya, kita akan salurkan kepada agensi-agensi luar negara. Hasilnya akan disalurkan kepada koperasi,” katanya.

Menurutnya, sumbangan yang dihulurkan ini bertujuan meringankan beban pihak sekolah dalam menguruskan pentadbiran, selain sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.

“Saya berjanji sekiranya hasil Kerajaan Negeri meningkat, peruntukan kepada SAR juga akan meningkat. Memandangkan SAR tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan untuk mendapatkan bantuan, Kerajaan Negeri akan sentiasa memantau dan memberi sumbangan, sekurang-kurangnya setahun sekali,” katanya