Untuk Aljazira Tv klik webtv

Kerajaan PR Peka Nasib Semua Kaum


YAN- Masalah yang menimpa penduduk kurang berkemampuan tetap mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri dalam usaha membantu mereka untuk meneruskan kehidupan seharian dengan lebih baik.

Untuk tujuan itu, Menteri Besar dengan kerjasama Ahli Parlimen Jerai dan Kelab Penyokong Pas telah mengadakan Majlis Sumbangan Sempena Deepavali untuk penduduk sekitar bertujuan menghulurkan bantuan.

Pegawai Khas Menteri Besar, Muzaini Azizan berkata, majlis tersebut adalah salah satu usaha Kerajaan Negeri mencari penduduk kurang berkemampuan khususnya kaum India supaya mereka dapat dibantu.

“Menteri Besar tidak pernah meminggirkan rakyatnya, Kerajaan Pakatan Rakyat dengan bantuan daripada Majlis Ketua Kampung (MKK) dan komuniti kaum Cina serta India maka setiap penduduk yang layak menerima bantuan akan dibantu dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata, bantuan akan diberikan kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik, agama mahupun kaum dan setiap permasalahan rakyat diminta pemimpin peringkat kampung mengambil tindakan segera menghubungi ketua komuniti di kawasan masing-masing.

Muzaini berkata, pihaknya tidak mahu masih ada komuniti India di negeri ini tercicir daripada perhatian Kerajaan Negeri dan untuk menjayakan usaha tersebut maka aktiviti turun padang seperti ini diadakan dalam usaha mengenal pasti jumlah penduduk yang kurang berkemampuan.

Pada majlis tersebut, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, S Manikumar dan Penyelaras PKR Gurun, Arumugam menyampaikan sumbangan barangan keperluan dapur kepada 180 orang.

Muzaini berkata, sumbangan itu adalah sumbangan peribadi daripada Menteri Besar selaku YDP Pas Kawasan Jerai dan Ahli Parlimen Jerai.

“Bukan hanya di DUN Gurun sahaja program seumpama ini diadakan kerana selepas ini satu lagi program peringkat negeri Kedah akan diadakan di Dewan Seri Mentalun.

“Setiap DUN akan diwakili ketua komuniti masing-masing untuk menerima bantuan untuk disampaikan kepada orang yang berkelayakan,” katanya.

Sekitar 1,000 membanjiri majlis yang bermula jam 6 petang dan tetamu dihidangkan dengan juadah sempena sambutan Deepavali, lusa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan