KUALA LUMPUR, 24 Feb: Parti Keadilan Rakyat (PKR)
memandang serius cubaan berterusan Kerajaan Pusat (Barisan Nasional)
mengelirukan rakyat mengenai hak setiap negeri di dalam Persekutuan
Malaysia untuk mendapatkan bayaran tunai royalti minyak secara langsung
kepada kerajaan negeri di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (APP).
Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail berkata, iklan
terbaru oleh Kerajaan Pusat (yang dibayar dengan duit rakyat) cuba
untuk mengelirukan rakyat dengan mendakwa cadangan pindaan APP oleh
Pakatan Rakyat adalah tanda-tanda bahawa Pakatan Rakyat mengakui
negeri-negeri tidak mempunyai hak di bawah APP.
Menurutnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang mencadangkan
usul tersebut di dalam sesi terakhir Dewan Rakyat pada Disember 2009
yang lalu dengan niat menghalang BN dari terus memanipulasi kepercayaan
yang diberikan oleh kerajaan-kerajaan negeri kepada Kerajaan Pusat di
masa pentadbiran Tun Abdul Razak untuk menghukum rakyat Kelantan.
Katanya, semasa APP 1974 dirangka, Malaysia hanya mempunyai beberapa
telaga minyak di luar pesisir pantai, contohnya telaga minyak carigali
Tapis di luar pesisir pantai Terengganu dan Temungo di luar pesisir
pantai Sabah).
Tambahnya, semua telaga minyak ini berada jauh di tengah lautan dan
jauh dari garisan 3 batu nautika setiap negeri (yang kini ditimbulkan
sebagai sempadan negeri apabila merujuk kepada APP).
Menurutnya lagi, telaga-telaga minyak inilah yang menjadi rujukan
utama kepada mereka yang merangka APP, apabila mereka memperkenalkan
istilah “luar pesisir pantai” di dalam APP.
“Niat dan tujuan APP (apabila merujuk kepada telaga minyak luar
pesisir pantai) adalah cukup jelas, sehinggakan dimensi sempadan dan
jarak jauh dari pantai untuk menentukan sempadan negeri tidak
ditimbulkan di dalam APP langsung,” ujarnya dalam kenyataan kepada
Harakahdaily, hari ini.
Beliau menambah, pendirian dan pendapat Kerajaan Pusat dan
kerajaan-kerajaan negeri pada ketika itu adalah sangat jelas, iaitu
apa-apa perolehan dari carigali hidrokarbon di atas darat atau di luar
pesisir pandai di dalam wilayah negeri perlu dibayar dengan bayaran
tunai (kemudian dipanggil royalti).
“Pendirian ini dikukuhkan lagi dengan rasa hormat dan tanggungjawab
Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri kepada semangat
persekutuan, di samping mengambil kira kebajikan rakyat di setiap
negeri,” katanya yang juga Ahli Parlimen Machang.
Namun, jelasnya, tiga dekad kemudian, BN mencabul kepercayaan dan
budi bicara di antara Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri yang
tercapai dalam tahun 1974, dengan menafikan hak rakyat Kelantan
mendapatkan royalti atas alasan terma “luar pesisir pantai” yang kabur
di dalam APP.
“Maksud dan niat yang termaktub di dalam APP adalah jelas,
terutamanya apabila negara kita tidak mempunyai telaga minyak yang
berada dalam lingkungan 3-batu nautika sejak petroleum dijumpai di
negara ini,” ujarnya.
Jelasnya, APP tidak dirangka dalam tahun 1974 dengan merujuk kepada
telaga minyak yang tidak wujud, ia merujuk kepada realiti operasi yang
wujud dalam industri minyak dan gas negara pada ketika itu, maknanya
semua telaga minyak luar pesisir pantai berada jauh dari pantai.
Sebenarnya, kata beliau apa yang juga jelas ialah niat BN untuk
mengkhianati semangat perjanjian yang menjulang kebajikan rakyat,
dengan menggunakan persoalan remeh-temeh mengenai istilah di dalam APP.
“Ini terus dilakukan, walaupun telah berkali-kali mereka yang
merangka APP, termasuklah Pengerusi Petronas yang pertama Tengku
Razaleigh Hamzah, menjelaskan bahawa niat dan maksud istilah ‘luar
pesisir pantai’ di dalam APP merujuk kepada mana-mana telaga minyak di
luar pantai sesebuah negeri.
“Oleh itu, cadangan pindaan oleh Datuk Seri Anwar bertujuan untuk
menegakkan dan membawa kembali niat dan semangat perjanjian ke dalam
APP dengan memberikan definisi yang nyata mengenai istilah ‘luar
pesisir pantai’ yang melambangkan niat dan semangat perjanjian dalam
tahun 1974 supaya kita dapat menghalang sesetengah pihak yang berniat
buruk dari terus memanipulasi APP untuk menganiayai rakyat Kelantan,”
jelasnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan