|
Menurut Pentadbir Tanah dan Galian Daerah Kuala Muda, Encik Zaid Ahmad penyelesaian permohonan tanah disasarkan sebanyak 964 fail setahun oleh Pejabat Tanah Daerah Kuala Muda. “Setiap permohonan perlu dirujuk kepada jabatan-jabatan teknikal untuk pandangan sebelum dipanjangkan kepada pejabat Pengarah Tanah dan Galian negeri Kedah. “Seterusnya permohonan akan di pertimbangkan oleh Jawatankuasa Tanah Negeri sebelum permohonan diluluskan. Setelah diluluskan, notis 5A akan dikeluarkan dan pemohon perlu menjelaskan bayaran tersebut sebelum surat hakmilik dikeluarkan oleh pejabat tanah daerah,” jelas Encik Zaid di majlis penyerahan geran hak milik tanah yang diadakan di perkarangan Pejabat Daerah Kuala Muda. Katanya, penyampaian 120 hak milik tanah yang telah diluluskan membabitkan tanah kerajaan negeri setelah melalui proses yang telah ditetapkan. Encik Zaid seterusnya menjelaskan, terdapat kira-kira tujuh RM7.45 juta tunggakan bayaran notis 5A, walaupun ada diantara sudah diluluskan sejak tahun 2006 lagi. “Mengikut peraturan pemohonan, pemohon hendaklah menyelesaikan semua bayaran yang ditetapkan dalam notis 5A dalam tempoh 3 bulan dari tarikh notis diterima, masih terdapat yang gagal membuat demikian dalam tempoh yang di tetapkan. “Selepas tempoh tersebut, sebarang rayuan hendaklah dipanjangkan untuk dipertimbangkan pengarah tanah dan galian dan jika selepas setahun notis tersebut, ianya perlu dibawa semula untuk pertimbangan jawatankuasa tanah negeri,” katanya lagi. Seterusnya beliau menasihati semua pemohon yang dikeluarkan surat hakmilik tanah supaya tidak lupa membayar premium tanah sebagaimana ditetapkan. Begitu juga, katanya, pemilik jangan lupa untuk menjelaskan cukai tanah. Kutipan hasil cukai tanah bagi Daerah Kuala Muda mencatatkan sejumlah RM32.7 juta pada tahun 2009. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan