Untuk Aljazira Tv klik webtv

Lompat: Pengundi PR diseru buat laporan polis

KUALA LUMPUR, 5 Mac: PAS Kawasan Batu memandang serius trend ahli-ahli Yang Berhormat melompat parti apabila beberapa kepentingan mereka tidak dipenuhi dan dengan sengaja mengada-ngadakan alasan bagi 'menghalal' tindakan tidak bermoral mereka.
Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Haji Ishak Surin ketika menegaskan perkara ini menyeru semua pengundi Pakatan Rakyat di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang terbabit dengan wakil rakyat melompat parti agar membuat laporan polis, bahawa mereka dikhianati dan dimungkiri oleh ahli Yang Berhormat berkenaan, tidak kekal dalam parti-parti Pakatan Rakyat, sebaliknya mengkhianati parti dan undi rakyat.
Katanya, tekanan ini juga bertujuan untuk mencabar mereka meletak jawatan dan mengosongkan kerusi berkenaan agar satu pilihan raya kecil diadakan bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baru.
Tegas beliau lagi, usaha begini patut dipandang serius sebagai tekanan dan asakan untuk menghalang mereka yang ingin melompat parti, kerana kemarahan pengundi yang ditipu oleh ahli Yang Berhormat berkenaan penting untuk membentuk politik baru yang anti wakil rakyat pengkhianat.
“Macam mana nak mewakili rakyat kalau mereka sudah mungkir, khianat. Tidak mungkin seorang yang khianat boleh amanah, jujur dan dedikasi dalam menjalankan tugas mereka. Apatah lagi, bergerak secara bebas tanpa diawasi oleh sesiapapun,” tegas Ishak ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum PAS Kawasan Batu membantah Draf KL 2020 kepada Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pada program ceramah 'Menggempur Garuda DrafKL 2020' di Pasti Kampung Padang Balang, dekat sini.
Selain Salahuddin, turut berceramah, Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Shaari Sungip.
Mengulas lanjut, Ishak mencabar mana-mana pengkhianat rakyat yang kini bergelar ahli Yang Berhormat 'bebas' mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket Pakatan Rakyat dan bertanding semula dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, jika mereka benar-benar hebat dan jaguh rakyat.
Katanya, mereka yang melompat, benar-benar berkepentingan diri sendiri tanpa menghiraukan maruah dan perjuangan yang selama ini dilaungkan untuk rakyat, sebaliknya mudah 'mengalah' dengan pelbagai pujukan.
“Inikah yang dikatakan perjuangan. Rakyat mahu Pakatan Rakyat lebih berhati-hati memilih calon pada pilihan raya akan datang agar wakil rakyat pengkhianat tidak muncul lagi selepas ini,” tegas beliau. 
Sehingga kini, menurut Ishak, empat kawasan Parlimen - Bayan Baru, Nibong Tebal, Pasir Mas dan Bagan Serai serta lima Dun iaitu Changkat Jering, Jelapang, Behrang, Lunas dan Pelabuhan Klang, masing-masing wakil rakyatnya telah mengkhianati pengundi mereka.
Sementara dua lagi kawasan Parlimen yang dicurigai ialah Kulim Bandar Baru dan Nibong Tebal yang kini, wakil rakyatnya dipersoalkan.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ishak memberi amaran kepada kerajaan BN agar tidak menggunakan Draf KL 2020 sebagai perkakas untuk 'membaham' kampung-kampung tradisional Melayu atas nama pembangunan.
Beliau yakin, tujuh kampung yang dikenalpasti akan 'dirampas' itu, gagal dilakukan jika para pemilik tanah berkenaan bersatu dan tidak mata duitan.
PAS Kawasan Batu akan bertindak seiring dengan Majlis Permuafakatan Kampung-kampung Tradisional Melayu (Muafakat) dalam mempertahankan tanah rizab orang Melayu itu dari digodam garuda kerajaan BN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan