MIRI, 22 Mac: PAS Miri melahirkan keyakinan akan berlaku tsunami politik pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak tidak lama lagi seperti yang terjadi pada pilihan raya umum Mac 2008 lalu.
Sehubungan itu, Yang Dipertua PAS kawasan, Haji Jofri Jaraiee (gambar) mengajak rakyat negeri ini untuk bersama-sama dengan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) bagi membuat perubahan cemerlang pada pilihan raya negeri nanti.
Katanya, kempen Jom Sertai PAS dan Pelancaran Tabung PR Dun Sarawak memberi signal positif dalam satu usaha yang lebih gigih dalam membawa satu sinar baru pada politik Sarawak yang gelap sepanjang pentadbiran Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Menurutnya, isu tanah NCR, penyalahgunaan kuasa, masalah penderaan kaum Penan, hak bumiputera Sarawak adalah antara rangkaian kegagalan BN sepanjang memerintah negeri ini.
PAS Miri, tegasnya akan terus komited untuk mendefinisi dan mentakrif perubahan yang akan berlaku dalam lanskap politik negara berdasarkan kerangka rujukan Islam yang bersifat universal.
“Bagi PAS Miri, jentera parti kini sudah siap siaga untuk melakukan kejutan, ditambah dengan kerjasama erat bersama PKR, DAP, SNAP untuk menghadapi pilihan raya negeri yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.
“PAS Miri yakin dengan gerak kerja yang berterusan bermula dari pilihan raya Dun 2006 lalu serta sokongan penduduk tempatan amat memberangsangkan lantas bakal diterjemahkan pada pilihan raya negeri akan datang,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, bahang pilihan raya negeri semakin hangat dengan pengumuman persediaan bajet pilihan raya daripada Suruhanajaya Pilihan Raya (SPR) minggu lalu dan ditambah dengan kebanjiran pimpinan BN mahupun PR ke negeri ini memperkuatkan lagi spekulasi itu.
Katanya lagi, laporan media tentang kesediaan parti komponen PR di samping pengumuman hasrat untuk bertanding di kerusi Dun sekitar Utara Sarawak khasnya Miri dan Bekenu membuktikan kesungguhan setiap parti komponen PR dalam merampas kerusi Dun sekitar Miri dan Bekenu daripada BN.
PAS Miri, ujarnya menghormati pendirian setiap komponen Pakatan Rakyat kerana setiap kerusi Dun pada dasarnya, secara kolektif calon yang akan dibantu dan disokong sepenuhnya oleh PAS, adalah calon Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR, DAP dan SNAP.
Tambahnya, PAS Miri akan meletakkan kepercayaan penuh pada kepimpinan Pusat dan negeri dalam mengesahkan calon yang akan bertanding bagi kesemua 71 kerusi di Sarawak selain menyatakan sokongan penuh kepada cadangan pertembungan satu lawan satu antara PR dan BN.
“Ini kerana dengan kukuhnya jentera PR kini, kami yakin pilihan raya Dun ini akan membawa tsunami politik seperti yang berlaku pada pilihan raya umum Mac 2008 lalu,” katanya lagi.
Baginya, kemunculan golongan pengacau seperti Parti Cinta Malaysia (PCM) tidak lebih sekadar satu usaha terdesak BN untuk memecahkan undi PR, akan tetapi PAS yakin pengundi tidak akan terpengaruh dengan usaha buruk BN ini.
“Politik yang kita majukan adalah berteraskan politik li ta'arafu - politik saling menghormati, khususnya bagi negeri Sarawak yang bersifat majmuk, dan dengan ini, ia bertambah penting bagi PAS menyerlahkan sifat keadilan Islam yang mampu meraikan kepelbagaian.
“PAS menegaskan menawar diri untuk memimpin perubahan dan memikul amanah kepimpinan negeri bersama setiap rakan PR dalam mengambil alih tampuk pemerintahan dari BN yang telah mendatangkan banyak kegagalan dalam sudut pentadbiran di negeri ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan