Penangguhan GST: Kerajaan Akhirnya Akur Dengan Bantahan Rakyat
Posted on Mac 16, 2010 by pemudawilayah
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
“PENANGGUHAN GST: KERAJAAN AKHIRNYA AKUR DENGAN BANTAHAN RAKYAT”
(16 Mac 2010)
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menganggap penangguhan bacaan kali kedua rang undang-undang cukai barang dan perkhidmatan (GST) di Parlimen merupakan satu kejayaan terhadap Pakatan Rakyat (PR) dan juga rakyat yang tidak henti-henti membantah pelaksaannya.
Penangguhan bacaan kali kedua GST di Parlimen menunjukkan bahawa kerajaan kini mengakui kesan pelaksanaan GST ke atas rakyat. Umum mengetahui dengan pelaksanaan GST ini harga barang-barang akan meningkat termasuk barang-barang keperluan. Dengan pelaksanaan GST ini juga pastinya akan menekan rakyat akibat kenaikan harga barang khususnya golongan berpendapatan rendah. Mungkin kerajaan baru sedar sekiranya mereka meneruskan dasar ekonomi ini sudah tentu rakyat akan menolaknya dalam pilihanraya umum akan datang.
Bagi DPPWP, alasan kerajaan tidak membentangkan bacaan kedua rang undang-undang perlaksanaan GST kononnya kerana mahu mendapatkan input daripada rakyat tidak boleh diterima. Ini kerana waktu pembentangan GST kali pertama di parlimen, kerajaan tidak sedikit pun menghiraukan pandangan rakyat. Mengapa sekarang apabila rakyat telah mula membantah GST baru kerajaan mahu mendengar suara rakyat?
Kerajaan juga dilihat berubah dengan keputusan meneruskan GST setelah mendengar ura-ura Pakatan Rakyat akan mengadakan himpunan besar-besaran membantah GST baru-baru ini. Nampaknya kaedah ini sahaja mampu menundukkan kesombongan kerajaan yang sukar mendengar rintihan dan suara rakyat. Ianya sama seperti kaedah terhadap PPSMI, ISA, dan menuntut pilihanraya bersih Hanya dengan himpunan jalanan kerajaan akan buka mata dan membuka pintu rundingan.
Justeru DPPWP mengingatkan kerajaan agar mendengar dan mendapatkan input dahulu daripada rakyat sebelum sesuatu dasar dilaksanakan. Sepatutnya kerajaan mengadakan taklimat khas bagi memberi pendidikan kepada rakyat terhadap apa-apa juga polisi yang melibatkan rakyat. Kerajaan juga perlu mendengar dahulu suara rakyat dan menjalankan kajian mengenai kemampuan rakyat terhadap sesuatu dasar yang akan dilaksanakan. Tidak akan rugi sekiranya kerajaan bersikap berhati-hati terutama terhadap dasar yang melibatkan kepentingan rakyat di negara ini kerana rakyat juga ada hak terhadap negara mereka sendiri.
Disediakan oleh
KAMARUL ARIF AMBAK
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan