Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mendakwa
beliau diberitahu bahawa syarikat minyak nasional, Petronas, telah
'menemui satu lapangan minyak yang sangat besar,
kemungkinan
yang terbesar di dunia'.
Penemuan ini, tegasnya,
bermakna Petronas akan mempunyai masa depan yang sangat baik.
Bagaimanapun, pengerusi pengasas Petronas itu enggan memberikan
butiran lanjut.
"Saya diberitahu...tiada pengumuman
dibuat mengenai penemuan lapangan minyak yang sangat besar. Saya
diberitahu terdapat penemuan besar... yang boleh memberi tekanan kepada
harga minyak.
"Saya juga diberitahu ia merupakan
lapangan minyak atau telaga minyak terbesar (bukan hanya) di sini tetapi
juga di tempat-tempat lain di dunia.
"Saya tidak
boleh dedah (lokasi)...saya tidak boleh beri tahu anda," katanya semasa
ditanya berulang kali mengenai penemuan itu, yang beliau sebutkan dalam
ceramahnya yang bertajuk, "Conversations on the Constitution and Oil
Royalty -- A Constitutional Right?" anjuran Majlis Peguam
Malaysia, di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau juga tidak
menamakan siapa yang memberitahunya mengenai perkembangan Petronas itu.
Sementara itu, Petronas dalam satu kenyataan
ringkas, menafikan penemuan tersebut.
"Petronas ingin
menjelaskan bahawa ia tidak membuat sebarang penemuan seumpama itu dan
sebarang kenyataan yang menyebut mengenai penemuan sedemikian adalah
tidak benar," kata perbadanan minyak nasional itu semasa dihubungi Bernama.
Tengku Razaleigh baru-baru ini tidak bersetuju
dengan pendirian Kerajaan Persekutuan bahawa kerajaan Kelantan tidak
mempunyai hak untuk menuntut royalti bagi minyak yang dikeluarkan dari
kawasan luar pantai negeri itu.
Tengku Razaleigh,
yang juga bekas menteri kewangan berkata penemuan lapangan minyak yang
besar bermakna Petronas mempunyai masa depan yang baik tetapi menambah,
ia perlu diurus dengan sewajarnya.
"Saya berharap
Petronas akan diurus dengan baik...tiada ketirisan, agar wang dapat
kembali kepada rakyat," katanya.
Beliau juga berkata
beliau gembira walaupun Petronas terpaksa membelanjakan wang bagi
pembinaan Menara Berkembar Petronas di sini dan pembangunan Putrajaya,
pusat pentadbiran persekutuan, syarikat minyak nasional itu "masih
meraih untung, dengan wang dan masih mempunyai baki rizab".
Petronas menyumbang kira-kira RM75 bilion setahun kepada kerajaan
persekutuan, di mana ia bersamaan dengan kira-kira 42 peratus daripada
pendapatan negara.
Sejak ditubuhkan pada 17 Ogos,
1974, Petronas telah berkembang menjadi sebuah syarikat minyak dan gas
antarabangsa bersepadu dengan kepentingan perniagaan di 31 negara.
Petronas tersenarai di kalangan syarikat terbesar
Fortune Global 500 di dunia.
Fortune menyenaraikan
Petronas sebagai syarikat ke-95 terbesar dunia pada 2008 dan ke-80
terbesar pada 2009.
Ia juga menyenaraikan Petronas
di kedudukan kelapan bagi syarikat paling mendapat untung di dunia dan
syarikat yang paling meraih untung di Asia.
Harga
minyak jatuh sejak dua minggu lepas sebanyak 2.8 peratus kepada di bawah
AS$80 setong pada Jumaat. London Brent Crude bagi Mei turun AS$1.60
setong kepada AS$79.88.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan