Ucapan sulung ahli parlimen Bayan Baru Datuk Seri Mohd Zahrain Hashim
selaku wakil rakyat Bebas hari ini yang mendedahkan punca beliau
meninggalkan PKR, menyebabkan suasana Persidangan Dewan Rakyat bertukar
kecoh.
Malah kurang lima minit selepas bekas
pengerusi PKR Pulau Pinang itu berucap mulai jam 5.05 petang, ketua
pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak keluar Dewan selepas
Zahrain mengaitkan Anwar dengan kegagalan pakatan pembangkang untuk
mengambil alih kerajaan Persekutuan melalui perancangan "16 September".
Zahrain yang menyifatkan rancangan itu sebagai
usaha untuk mengambil alih kerajaan tanpa mengira kesannya, berkata
beliau masih ingat bagaimana wakil rakyat PKR diperalatkan dan
dibohongi kononnya wakil rakyat BN yang akan lompat parti, lebih
daripada mencukupi, lapor Bernama
Katanya mereka
diberitahu kononnya Yang di-Pertuan Agong sedang menunggu di Istana
Negara untuk memberi perkenan kepada pakatan pembangkang untuk
membentuk kerajaan.
"Malah Yang di-Pertuan Agong
dikatakan merestui YB Permatang Pauh sebagai perdana menteri keenam,"
kata Zahrain ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang
di-Pertuan Agong merasmikan pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-12 di
Dewan Rakyat hari ini.
Di peringkat itu, suasana menjadi kecoh apabila Anwar meminta dirinya tidak dikaitkan dengan perkara itu.
Kekecohan
berlaku apabila beberapa ahli parlimen BN dan pembangkang bangun untuk
mencelah, termasuk ahli parlimen Padang Serai, N Gobalakrisnan yang
menggesa supaya Zahrain menarik balik kenyataannya.
Ketika
itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee mengingatkan
peraturan 36(8) bahawa kelakuan atau sifat Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu atau Yang Dipertua Negeri atau
hakim-hakim atau mana-mana Suruhanjaya tidak boleh disebut, kecuali
dikeluarkan usul.
Zahrain kemudiannya
menyambung ucapannya dengan mendakwa mereka juga dibohongi kononnya
panglima angkatan tentera juga menyokong perancangan pembangkang itu
yang kemudiannya menjadikan Dewan lebih gamat.
Dalam
suasana kecoh itu, Zahrain meneruskan pendedahan mengenai kepincangan
dalam perjuangan pakatan pembangkang yang menurutnya, menjadi
perjuangan peribadi Anwar yang menyebabkan ketua pembangkang itu
akhirnya bertindak keluar Dewan.
Ketika itu
kedengaran ahli parlimen BN yang berteriak "pengecut" dan "berani,
tunggu", mendesak supaya Anwar tidak keluar Dewan dan mendengar
pendedahan mengenai kenapa Zahrain keluar parti kerana tidak percayakan
kepimpinan PKR dan pakatan pembangkang.
Tian
Chua (PKR-Batu) turut mempertikaikan kenapa Zahrain mendedahkan perkara
itu selepas dua tahun pakatan memerintah Pulau Pinang.
Zahrain
kemudian mengulangi dakwaannya bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim
Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP sebagai ditaktor, cauvinis dan
berfikiran komunis.
"Saya turut simpati dengan
kesedaran terlewat ini," kata Tian Chua lagi yang turut mempersoalkan
kenapa Zahrain menerima anugerah Datuk Seri daripada kerajaan negeri.
Zahrain
berkata perkara itu tidak timbul kerana pingat itu dianugerahkan oleh
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan beliau sebaliknya mempersoalkan
kegagalan kerajaan negeri memperjuangkan Islam dengan membangkitkan isu
wang zakat dan isu perarakan Maulidul Rasul di negeri itu.
"YB
Bagan (Lim Guan Eng) bukan saja gagal menjawab teguran dan kritikan
saya, sebaliknya memilih untuk melemparkan fitnah dan tohmahan jahat
terhadap saya dan ahli keluarga, kononnya terlibat dengan tender Golf
Bukit Jambul melalui syarikat modal dua ringgit, yang anak saya
kononnya mempunyai kepentingan.
"Saya telah
mengarahkan peguam saya supaya mengambil tindakan undang-undang
terhadap dia. Dan yang paling malang tindak-tanduk diktatorial,
cauvinis, ekstrem, anti-Islam dan ala komunis YB Bagan mendapat
sokongan YB permatang Pauh (Anwar)," katanya.
Zahrain
turut menyifatkan Anwar sebagai "raksaksa pelbagai wajah" ekoran
pendiriannya yang sentiasa berubah-ubah dalam memperjuangkan orang
Melayu dan kepentingan agama Islam.
Beliau
mendedahkan antara punca beliau hilang kepercayaan kepada kepimpinan
Anwar ialah apabila PKR terlampau memperhambakan diri kepada DAP
sedangkan ketua pembangkang itu pernah memberitahunya yang PKR tidak
akan tunduk kepada parti itu.
Timbalan Speaker
Dewan Rakyat bagaimanapun menangguhkan ucapan Zahrain pada pukul 5.30
petang bagi membolehkan persidangan disambung semula esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan