Sesungguhnya tindakan kerajaan Pusat dikuasai Barisan Nasional meluluskan lesen judi kepada Berjaya Corp untuk pertaruhan perlawanan Bola Sepak Piala Dunia 2010 adalah satu penghinaan besar kepada Yang Dipertuan Agung. Kerana ia menampakkan penggunaan kuasa Barisan Nasional yang jelas menghina Yang Dipertuan Agung selaku ketua agama Isalam. Sekaligus, memberi kesan penghinaan kepada agama Islam sebagai agama Persekutuan dan melanggari Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, menyanggahi prinsip penerapan nilai Islam yang diasaskan era Tun Dr. Mahathir Mohamad dan mengengkari akhlak pemimpin Islam Hadhari era Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Lantaran itu, pihak Barisan Nasional sekarang yang dikuasai Mohd Najib telah mengukuhkan jenama 1Malaysia dengan nilai-nilai judi sebagai sumber ekonomi negara yang sudah menitis nilai dosa ke dada umat Islam.
Jelasnya, ia sudah menghina saf mufti selaku pemutus fatwa dan pengawal hukum, kerana sehebat Mufti Harussani mungkin tidak dirujuk oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd Najib, atau Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek. Maka, selayaknya umat Islam terkilan dan berkecil hati dengan cara pentadbiran pihak kuasa Barisan Nasional sekarang.
Sehubungan itu, ekoran tindakan pihak kuasa Barisan Nasional melesenkan aktiviti pertaruhan bola kepada raja judi Malaysia, Berjaya Corp Bhd. Apalah salahnya jika semua umat Islam bangkit menegur pihak pemerintah dalam soal ini.
Namun, dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbagai latar belakang harus sedar bahawa perjudian bola sepak itu disebut sebagai betting. Ia sebenarnya perjudian atas ramalan menang-kalah-seri bagi setiap perlawanan pasukan bola sepak yang dilakukan melalui pusat-pusat jualan Sport Toto di seluruh negara. Sebelum ini, masyarakat Malaysia sudah sekian lama menanggung kesan judi Toto dan beberapa jenis judi lagi, kesannya teah mewujudkan budaya hidup unproductive dan negatif kepada ekonomi rakyat. Pihak yang untung adalah pemilik lesen dan pemilik kuasa Barisan Nasional melalui cukai jualan tiket judi.
Betting hakikatnya berjudi
Betting bermaksud pertaruhan. Asas pertaruhan adalah wang yang dipertaruhkan untuk mendapat sejumlah wang sebagai untung. Keuntungan akan diraih apabila fakta pertaruhan itu berasaskan ramalan bersifat nasib bertukar menjadi realiti. Pihak yang kalah akan mendapat nilai pulangan kosong dan pihak yang menang pula akan mengaut sejumlah wang yang dipertaruhkan oleh pihak yang kalah. Inilah hakikat perjudian yang menjadi budaya buruk zaman berzaman.
Menurut sumber CIMB Research (New Straits Times, 14 Mei 2010, hal. 13), bentuk betting boleh dilakukan dalam dua cara, iaitu melalui kaunter jualan atau secara telefon. Melalui kaunter boleh dibuat dengan bayaran minimum RM5 dan melalui telefon dengan bayaran minimum RM20.
Di Malaysia, pihak kuasa Barisan Nasional telah mengiktiraf beberapa syarikat besar yang untuk menguruskan budaya buruk berjudi. Antaranya Berjaya Corp Bhd (BCorp) telah mendapat lesen pertaruhan bagi kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010. Menurut sumber (Utusan Malaysia, 13 Mei 2010, hal.21) pihak BCorp dikatakan bakal memiliki syarikat pertaruhan sukan berlesen pertama di Malaysia apabila menguasai 70 peratus kepentingan dalam Ascot Sports Sdn. Bhd. (Ascot Sports) dengan harga tunai RM525 juta. Ascot Sports pula adalah milik korporat judi terkaya di Malaysia, Tan Sri Vincent Tan yang sekarang memiliki modal saham berbayar RM80 juta dengan nilai harga jualan RM9.37 sesaham.
Sekadar pengetahuan, lesen judi adalah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan di bawah Datuk Seri Mohd Najib. Ascot Sport telah diberi lesen sebagai pihak yang layak menjalankan operasi betting sukan, kononnya sebagai usaha untuk mengurangkan aktiviti pertaruhan haram yang berleluasa di negara ini. Sumber itu juga mendedahkan, pasaran pertaruhan sukan haram di Malaysia dikatakan berjumlah sehingga RM20 bilion setahun, sekali gus mengurangkan cukai pendapatan yang dikutip oleh kerajaan.
BCorp pihak pertama untung judi
Mengatasi kekurangan pendapatan itu ialah melalui pemberian lesen kepada Ascot Sports. Walau bagaimanapun, syarikat Vincent Tan itu dijangka meraih keuntungan selepas cukai terkumpul sekurang-kurangnya RM375 juta bagi tiga tahun pertama operasinya dengan purata keuntungan bersih kira-kira RM125 juta setahun. Operasinya akan bermula selepas membayar deposit dalam bentuk sekuriti tersenarai bernilai RM81.25 juta dan BJ Corp akan memegang RM125 juta tunai daripada jumlah RM525 juta. Jaminan pencapaian keuntungan adalah berdasarkan jumlah pertimbangan awal keuntungan sebanyak RM400 juta. Oleh itu, Ascot Sports dijangka menjadi penyumbang utama keuntungan BJ Corp.
Turut bersubhat sama dengan kuasa Barisan Nasional memajukan perjudian tajaan Ascot Sport ialah AmInvestment Bank sebagai penasihat utama dan OSK Investment Bank sebagai penasihat bebas.
Menurut sumber lagi (New Straits Times, 14 Mei 2010, hal. 13) sebanyak 220 daripada 680 pusat jualan Sports Toto akan dijadikan pusat betting bola sepak yang dijadulakan bermula di Afrikan Selatan 11 Jun nanti. Apa yang penting difikirkan daripada aktiviti kesemua pusat jualan itu, pihak BCorp pihak pertama untung judi dan Kerajaan Pusat bakal mendapat pulangan dalam bentuk cukai dan bayaran lesen. Meskipun kita suka atau tidak, sekali lesen dikeluarkan pasti pihak kerajaan Pusat akan mendapat untung daripadanya. Persoalannya, siapakah pihak yang bersekongkol dengan BCorp? Mungkin ada pihak yang mengetahuinya.
Reaksi pemberian lesen judi
Sejujur iman dan seikhlas taqwa, umat Islam hendaklah menjauhi sama sekali daripada aktiviti berjudi. Taatlah perintah Allah SWT seperti mana firman Allah SWT.
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَـٰمُ رِجۡسٌ۬ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ
Maksudnya:
”Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya” (al-Quran al-Maidah 5:90).
Atas nilai iman dan taqwa inilah pemimpin agama, mufti mahu pun NGO dan orang politik hendaklah bersama-sama membetulkan pembelotan kuasa dan budaya berjudi yang ditanam oleh kuasa Barisan Nasional. Peringatan Allah SWT telah jelas, judi adalah budaya kotor yang wajib dihindari dan ia merupakan larangan tegas agama agar setiap pihak menjauhinya. Natijahnya judi, seumpama arak dan lain-lain perbuatan syirik adalah termasuk di dalam lembah kedurjanaan yang menghalang kejayaan ummah.
Sehubungan itu, pujian patut diberikan kepada semua pihak yang bersuara atas isu perjudian tajaan kerajaan Pusat Barisan Nasional. Antara yang direkodkan bersuara ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dilaporkan (Sinar Harian, 16 Mei 2010, hal.K3) berkata tindakan kerajaan Pusat meluluskan lesen judi untuk pertaruhan bola sepak Piala Dunia adalah salah satu yang dianggap menghina agama Islam dan sepatutnya mereka menghormati kerana agama Islam adalah agama rasmi negara.
Nada suara yang hampir sama turut ditulis oleh bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Harakah, 14-16 Mei 2010, hal.F3) yang menegaskan bahawa tindakan kerajaan Pusat mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sempena bola sepak Piala Dunia 2010 demi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram adalah satu kenyataan yang memalukan dan amat menyalahi cara fikir yang lurus. Tindakan itu boleh dianggap sebagai tidak memulangkan kepentingan umum atau kebaikan kepada rakyat, sebaliknya menganggap sebagai bukan tindakan pemerintah yang bertanggungjawab. Malah mengundang kerosakan judi lebih besar dari manfaat yang akan diterima.
Demikian pula, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (Sinar Harian, 14 Mei 2010, hal. N2) yang mengungkapkan bahawa perjudian yang diberi lesen dan perjudian yang tidak mendapat lesen, kedua-duanya haram di sisi Islam.
Menurutnya lagi, jika kita tetap mengeluarkan lesen untuk aktiviti perjudian, ia seolah-olah menampakkan kita menghalalkan judi yang sememangnya haram di sisi agama. Ia tidak seharusnya berlaku kerana semua masyarakat tahu bahawa judi itu haram.
Judi tetap haram
Berdasarkan paparan di atas, pihak kuasa Barisan Nasional wajar dipersoalkan dari segi rasionalnya tindakan memberi lesen judi kepada pihak terbabit. Sewajarnya rakyat melihat secara serius menurut fikir tulus berteraskan agama kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek semasa di parlimen pada 6 Mei lalu (Malaysiakini.com, 6 Mei 2010). Antara kenyataan beliau yang dipetik berkata, “…sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya dan sebarang langkah perlu dilakukan secara berkesan bagi menangani masalah bookie tanpa lesen termasuk membenarkan pertaruhan bookie bola sepak dilaksanakan melalui perlesenan sah.”
Mengapakah pertimbangan dibuat atas dasar membenarkan kegiatan judi bola yang disebut bookie boal sepak itu. Sepatutnya pihak kerajaan yang berkuasa boleh mengawal daripada wujud perjudian bukannya mengesahkan perjudian. Apakah pihak kerajaan tidak merasai berdosa dengan keputusan itu? Sedangkan hukumnya telah jelas.
Atas persoalan ini, munculnya beberapa amaran keras kumpulan Islamik prihatin, misalnya Hizbut Tahrir Malaysia dalam blognya (mykhilafah.com) telah menegaskan ”judi berlesen tetap haram di sisi Islam” yang mengajak umat Islam (khususnya beberapa pemimpin negara bertaraf menteri dan timbalan menteri) agar tidak bersifat “munafik” di dalam isu judi ini. Menurut blog itu, ”kamu kononnya memprotes kegiatan judi ini tetapi dalam masa yang sama kamu juga sebahagian dari mereka yang membentuk kerajaan sekular yang membenarkan kedai-kedai nombor ramalan beroperasi dengan mudahnya. Kamu juga terlibat membenarkan operasi kasino di Genting Highlands.”
Rumusannya, di dalam menimbangkan rasionalisasi isu judi di negara ini, gunalah panduan al-Quran bukannya nilai ringgit. Fikirlah dengan tulus berlapikkan hukum Islam bukannya logik berlandaskan bisikan dan hasutan syaitan. Ingatlah, sampai masanya Allah SWT akan melaknatkan sesiapa yang menghina Islam.
**Penulis adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan