Untuk Aljazira Tv klik webtv

Mapim mohon kerajaan jaga keselamatan kapal ke Gaza


KUALA LUMPUR, 25 Mei: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon kepada kerajaan agar bertindak menjaga keselamatan misi kapal ke Gaza.
Surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid(gambar) itu memaklumkan majlis itu yang terdiri dari 24 buah organisasi Islam seluruh negara memohon perhatian dan tindakan sewajarnya dari pihak Perdana Menteri.
Mohd Azmi di dalam surat yang bertarikh semalam itu memberitahu, suatu misi kapal yang kini berhimpun di Turki dari Ireland, Greece, Sweden, Free Gaza Movement, Malaysia sedang bersiap belayar ke Gaza untuk memecah sekatan Israel dan menyampaikan bantuan kepada Gaza.
Pihaknya juga menggesa kerajaan Malaysia dan seluruh ahli Parlimen supaya bertindak untuk mengambil langkah perlu bagi menjaga keselamatan misi kapal yang menghantar bantuan kemanusiaan kepada Gaza dalam beberapa hari ini.
Katanya, Kerajaan Malaysia perlu mengguna pengaruhnya untuk memberi tekanan antarabangsa terhadap Isarel yang bersikap angkuh dan degil menyekat dan menindas penduduk Gaza serta menafikan kemasukan bantuan kemanusiaan kepada Gaza.
“Gesaan kami adalah berdasarkan sikap dan pendirian angkuh Israel dan amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Israel yang mahu menyekat dan mungkin mengambil tindakan militeri terhadap misi kapal yang digelar Freedom Flotilla,” ujarnya.
Gerakan Pembebasan Gaza (Free Gaza Movement) atas nama Freedom Flotilla dengan beberapa  organisasi lain yang mengambil inisiatif menganjurkan usaha pelayaran 8 buah kapal penumpang dan kargo kini sedang bergerak ke arah Gaza melalui Laut Mediterranean untuk masuk ke pelabuhan Gaza.
Menurutnya lagi, matlamat misi kapal itu adalah untuk memecah kepungan Israel terhadap Gaza dan menyampaikan bantuan berupa ubatan, alat persekolahan dan bahan binaan untuk rakyat Gaza yang sedang menderita sejak polisi mengepung Gaza yang dikenakan oleh Israel dan serangan ganas Israel yang dilancarkan ke atas Gaza  selama 22 hari pada awal 2009 yang lalu.
Mapim, katanya mendapati tindakan Israel yang cuba menghalang kemasukan kapal-kapal kemanusiaan tersebut tidak boleh diterima dan mesti dicabar. Ia bukan sahaja melanggar undang-undang maritim antarabangsa malah menafikan hak asasi  penduduk Gaza.
Mapim juga, tambahnya menggesa kerajaan Malaysia segera menghantar nota desakan supaya pejabat Setiausaha Agung PBB mengambil langkah segera supaya misi kapal yang membawa lebih 600 orang penumpang dari 20 negara  yang terdiri dikalangan  ahli parlimen, tokoh jurnalis, ahli akedemik dan aktivis NGO antarabangsa serta  ahli media bersama lebih 20,000 ton bahan bantuan, dilindungi dari sebarang tindakan agresif pihak Israel.
“Kerajaan Malaysia juga sewajarnya menimbangkan agar satu kapal pengiring khas dihantar untuk memastikan kapal kemanusiaan itu dapat sampai dan barang bantuan disalurkan kepada rakyat Gaza.
“Mapim merasakan ini wajar dipertimbangkan. Malaysia secara langsung juga terlibat dengan misi ini kerana sebuah kapal khas hasil dari wang derma yang dikumpulkan di kalangan rakyat Malaysia telah dibeli melaluiPerdana Global Peace Organization,” ujarnya yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu.
Beliau berkata, Mapim menyeru ahli Parlimen Malaysia juga mengambil daya usaha untuk memberi tekanan kepada badan antarabangsa seperti PBB, Kesatuan Eropah dan OIC supaya misi kapal tersebut mencapai matlamat menyelamat penduduk Gaza.
Katanya, sidang Parlimen yang akan datang perlu mengeluarkan suatu usul khas untuk mengutuk Israel dan mendesak supaya tindakan undang-undang diambil ke atas Israel.
“Masyarakat dunia perlu mengisytiharkan Israel dan Amerika yang turut mendokong kezaliman ini dipertanggungjawabkan ke atas penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza khasnya dan di seluruh Palestin amnya.
“Tindakan dan maklum balas dari pihak YAB Datuk Seri sangat diharapkan,” ujarnya lagi di dalam surat tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan