Untuk Aljazira Tv klik webtv

Gaza: 48 jam untuk Najib adakan sidang khas Parlimen


KUALA LUMPUR, 1 Jun: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) memberi tempoh 48 jam kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya segera memanggil sidang khas Parlimen untuk membincang isu serangan pengganas-pengganas Israel ke atas konvoi Freedom Flotilla yang menghantar bantuan ke Semenanjung Gaza.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, dalam tempoh 48 jam itu juga, kerajaan juga hendak membentang pelan menyelamatkan rakyat Malaysia yang sedang ditahan oleh pihak berkuasa Israel pada sidang khas Parlimen tersebut.
"(Selain itu), dalam tempoh tidak lebih dari 48 jam kerajaan hendaklah menamatkan kontrak dengan syarikat perunding antarabangsa yang merupakan proksi kepentingan politik Israel dan Amerika Syarikat," katanya.
Mahfuz juga menuntut kerajaan menghentikan dengan segera sebarang urusan perdagangan yang rasmi atau tidak rasmi dengan negara haram Israel.
Beliau juga sangat kecewa terhadap Perdana Menteri yang hanya mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan serangan itu Israel hanya pada tengah malam semalam.
"Kenyataan itu hanya dibuat selepas didesak oleh pelbagai pihak yang mengangap kerajaan terlalu lembab dan takut untuk membuat kenyataan mengecam perbuatan lanun laut rejim Israel," katanya.
Kelembapan Perdana Menteri itu, katanya, dilihat seperti menunggu apa nasihat dari APCO Worlwide untuk kerajaan bertindak tanpa menjejas kerja firma Yahudi zionis itu yang diamanahkan oleh kerajaan untuk memulihkan kepercayaan Amarika terhadap kerajaan Malaysia kini.
"Tindakan rejim Israel tersebut adalah berpunca dari sikap lunak dan pak turut dasar luar kerajaan-kerajaan di dunia termasuk Malaysia yang menyumbang kepada tindakan kejam Israel.
"Perbuatan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib yang begitu mesra Amerika dan zionis mesti dikecam oleh seluruh rakyat Malaysia," tegas beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan