Untuk Aljazira Tv klik webtv

Pekerja KTMB cadang piket pada 7 dan 21 Julai

Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) akan berpiket pada petang 7 Julai ini untuk membantah rancangan perkhidmatan tren elektrik (ETS) diuruskan oleh anak syarikat baru, selain mendesak presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan meletak jawatan. 

Presiden KPPKTMB Abdul Razak Md Hassan berkata, jika Aminuddin enggan melepaskan jawatan, Kementerian Kewangan hendaklah menilainya melalui petunjuk prestasi utama (KPI) sepanjang tempoh 11 bulan beliau menerajui KTMB.

Seramai 500 pekerja dijangka menyertai piket selama sejam di perkarangan ibu pejabat KTMB di Jalan Hishamuddin di sini, manakala satu lagi piket di 10 cawangan di seluruh negara akan diadakan pada 21 Julai, katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Razak berkata kesatuan itu mempunyai 3,600 anggota dan keputusan berpiket merupakan tindakan awal membantah pelaksanaan ETS di bawah anak syarikat. 

Beliau mendakwa antara lain, langkah itu akan mengurangkan faedah kesihatan pekerja, kehilangan elaun-elaun, jumlah cuti berkurangan dan sewa kuarters akan dinaikkan.

"ETS dengan nama anak syarikat ET Sdn Bhd adalah awalan kepada penstrukturan baru, selepas ini semua jabatan yang wujud dalam KTMB mengikut perancangan, akan dianaksyarikatkan atau dijadikan usaha sama atau penyumberan luar, atau mungkin diswastakan sepenuhnya," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan