MENTERI Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak terpaksa menafikan berkali-kali desas-desus yang mengatakan akan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) kerana terdapat kononnya, beberapa Adun KeADILan yang akan melompat parti.
Dari mana ya datangnya cerita dogeng setaraf dengan kisah 'mat jenin' itu? Tentulah ia mudah diagak kerana biasanya orang yang gila talak adalah orang yang baru menjatuhkan talak tiga tanpa berfikir sebelum melafazkannya.
Tentu, kehilangan negeri Kedah dari tampuk kuasa, mereka yang sudah begitu lama berada di situ, seperti orang yang kehilangan isteri yang disayanginya. Lebih malang lagi, janda si lelaki itu, sudah dinikahi oleh orang lain yang menyebabkan timbul cerita, akan bercerai tidak lama lagi.
Aduh! Dahsyat sungguh cerita itu tetapi inilah perumpaannya cerita karut yang datangnya dari Kedah dan mendapat liputan dari sebuah akhbar arus perdana, yang baru-baru ini mendapat teguran dari Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, supaya jangan mensensasikan! Fahamkah mereka yang berada di situ apa yang dimaksudkan dengan 'sensasi'? Sekali imbas, bolehlah dikatakan Najib sendiri sudah tidak sanggup menatap media arus perdana yang hari-hari menghidangkan berita yang disensasikan.
Kononnya akan berlaku pembubaran ini sepatutnya ditujukan oleh mereka yang faham politik kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan. BN hanya mempunyai kelebihan empat kerusi sahaja berbanding dengan Kedah, Pakatan Rakyat mempunyai kelebihan tiga kali ganda kekuatan BN di Negeri Sembilan.
Kalau mahu mereka-reka cerita dongeng, sepatutnya jalan cerita di Negeri Sembilan lebih afdal dijadikan bahan daripada kisah di Kedah. Lagi pun, tiada seorang pun ketua Umno bahagian di Kedah yang mempunyai keyakinan BN mampu merampas kembali Kedah dari tangan Pakatan Rakyat. Rata-rata, memuji cara dan sikap Menteri Besar yang dilihat tidak bermain politik ketika menjalankan pentadbiran, malahan mendapat kerjasama erat dari istana dan KCS.
Persoalannya, siapa yang mula menimbulkan cerita dongeng ini? Adakah pembuat cerita ini adalah dari kalangan tok dalang wayang kulit yang merupakan satu bentuk hiburan paling popular di Kedah? Kenapa media arus perdana memetik cerita ini dan mensensasikannya? Apa untungnya kepada rakyat?
BN Kedah sebenarnya ketandusan pemimpin. Jika suatu ketika dahulu mereka berbangga kerana mempunyai deretan tokoh ternama dalam Kabinet Persekutuan seperti Tan Sri Khir Johari, Tan Sri Senu Abdul Rahman, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Tan Sri Fatimah Hashim, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman, kini untuk menjadi sebutir antah di dalam timbunan beras, sudah jadi mustahil.
BN Kedah terpaksa mencari bekas tentera untuk dicadangkan menjadi Menteri. Bekas tentera ini tidak menjadi tenaga penting di dalam Umno di peringkat bahagian. Nasib baiklah, ada ihsan dari Perdana Menteri melantiknya menjadi Ketua Penerangan Umno Negeri, jika tidak, mungkin dia juga teraba-raba untuk mencari cawangan bagi mendaftarkan keahliannya.
Masalah Umno Kedah, mereka jenis 'makan kawan'. Itulah sebabnya, orang-orang 'besar' di Kedah, bila sudah tidak berjawatan dalam kerajaan, Umno akan memandang hina mereka. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri, apabila tidak lagi menjadi Presiden Umno dan Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu, dia dikalahkan dalam usahanya menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno.
Dato' Othman Desa, apabila tidak lagi menjadi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, dia dikalahkan dalam percubaannya mahu menjadi Ketua Umno Bahagian Sik. Othman juga tewas dalam PRU 12 yang lalu bagi kerusi Parlimen Sik. Datuk Seri Syed Razak Syed Zin dikalahkan sebagai Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah dengan alasan dia sakit tetapi dalam DAP, Karpal Singh masih kekal sebagai Ahli Parlimen dan Pengerusi DAP walaupun bergerak menggunakan kerusi roda.
Datuk Badaruddin Amiruldin terpaksa meninggalkan kerusi Ketua Umno Bahagian Jerai (Yan) apabila tewas bagi kerusi Parlimen tersebut dalam PRU 12 yang lalu walaupun di peringkat kebangsaan, dia menang mudah merebut kerusi Pengerusi Tetap Umno. Rekod ini membuktikan bahawa Umno Kedah akan mencincang lumat sesiapa sahaja yang mereka lihat tidak 'berguna' kecuali seorang dua yang masih mendapat ihsan Perdana Menteri untuk dilantik memegang jawatan-jawatan penting di peringkat pusat.
Bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mahdzir Khalid sendiri dihukum dengan menarik balik jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah sedangkan jawatan itu sebenarnya wajar disandangnya atas kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang Dun Kedah.
Apakah tumbangnya kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan Mahdzir dalam PRU 12 yang lalu disebabkan kesalahan Mahdzir seorang? Tidak adakah isu-isu nasional yang menyebabkan Kedah rebah di tangan Pakatan Rakyat?
Hari ini, BN Kedah ketandusan pemimpin. Tidak ada seorang pun di kalangan pemimpin yang ada mampu memberi saingan kepada kepimpinan Ustaz Azizan. Malahan, mereka terpaksa menimbulkan isu soalan di Dun mengenai 'penghinaan' kepada Sultan dijadikan isu kononnya mempertikaikan kuasa Sultan.
Namun, isu-isu rekaan ini tidak ke mana-mana. Rakyat Kedah kini semakin selesa di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat dipimpin Ustaz Azizan. Kecenderungan pelabur asing masuk ke Kedah termasuk Kulim High-Tech cukup membuktikan, kepimpinan sekarang jauh lebih baik dari sebelumnya.
Najib terpaksa menghantar seorang pemimpin Umno dari Sabah ke Kedah, kononnya untuk berkongsi pengalaman Sabah untuk digunakan di Kedah. Malangnya, pemimpin Umno Sabah ini tidak mempunyai teko ajaib kepunyaan Alladin untuk mencari keajaiban. Itulah sebabnya, mereka terpaksa mengada-adakan cerita dongeng kononnya Dun Kedah akan dibubarkan kerana ramai lagi Adun KeADILan yang akan melompat meninggalkan KeADILan.
Ustaz Azizan tentunya mempunyai kekuatan sendiri untuk menangkis serangan ini. Lebih menarik, khabarnya Dr. Mahathir dan Daim sendiri sudah berbisik dengan rakan-rakan mereka, BN tidak mungkin dapat kembali Kedah dalam PRU 13 akan datang, malahan mungkin kalah lebih teruk lagi. Sejauh mana kebenaran dakwaan itu, tiada siapa dapat mengesahkannya kecuali Dr. Mahathir dan Daim menafikannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan