Untuk Aljazira Tv klik webtv

Kedah Sedia Peruntukan RM500,000 Dalamkan Sungai Di Daerah Yan

YAN, 30 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Kedah meluluskan peruntukan tambahan RM500,000 bagi mendalamkan sungai di kawasan-kawasan yang kerap dilanda banjir di daerah Yan.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan berkata peruntukan itu akan disalurkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) secepat mungkin dan projek bagi mendalamkan sungai-sungai itu akan dilaksanakan tidak lama lagi.

"Projek ini diharap dapat menyelesaikan masalah banjir yang kerap melanda setiap kali musim hujan di daerah ini," katanya kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan di Masjid Kampung Titi Teras di sini, pada hari Ahad.

Sementara itu Pengarah JPS Kedah Abdul Qahar Osman berkata kerja-kerja mendalamkan sungai di daerah Yan terbahagi kepada beberapa peringkat, dan fasa pertama bermula di Sungai Titi Teras tidak lama lagi.

Katanya sungai itu juga akan dilebarkan bagi menampung aliran air terutama semasa hujan lebat.

Dalam taklimatnya kepada Azizan, Pegawai Daerah Yan Abdul Rahman Zainon berkata banjir yang melanda tiga buah kampung di Yan tidak menunjukkan tanda-tanda akan surut dalam tempoh terdekat dan mungkin lebih ramai mangsa akan dipindahkan.

Katanya sehingga pukul 2.45 petang ini jumlah penduduk yang dipindahkan ke tiga Pusat Pemindahan meningkat kepada 500 orang berbanding 226 mangsa pada pukul 11 pagi ini.

Masjid di ketiga-tiga buah kampung terbabit iaitu Kampung Titi Teras, Kampung Teroi Bukit dan Kampung Sungai Malai dijadikan Pusat Pemindahan.

Menurut Abdul Rahman lagi jumlah teramai yang dipindahkan ialah dari Kampung Titi Teras seramai 338 orang membabitkan 78 keluarga, Kampung Teroi Bukit (100 orang, 28 keluarga) dan Kampung Sungai Malai (62 orang, 15 keluarga).

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=436931