Untuk Aljazira Tv klik webtv

Kementerian Pelajaran lulus 40 program Insaniah

ALOR SETAR, 8 September: Dalam setahun, Kementerian Pelajaran turut memberi bantuan iaitu kelulusan lebih daripada 40 program yang ditawarkan di Kolej Universiti Insaniah.


Antara program yang ditawarkan ialah empat diperingkat PhD, empat diperingkat MA, 19 diperingkat Becerler, 20 diperingkat Diploma dan tiga diperingkat Asasi.

Menurut Rektor Kolej Universiti Insaniah, Profesor Dato’ Dr. Jamil Osman, pihaknya juga turut mempunyai program-program baru iaitu lapan program MA, enam program BA dan empat program Diploma.

“Kita mempunyai master dalam pengajian Al-Quran, master dalam pengajaran Al-Quran (Tahfiz Wal Qiraat) dan master dalam Islamic Al-Quran,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, kemasukan pelajar Kolej Universiti Insaniah ke Kias, Kelantan Darul Naim ialah seramai 150 pelajar manakala 120 pelajar lagi sedang melanjutkan pengajian dalam bidang master dan PhD.
“Pada tahun 2008, seramai 2,000 pelajar menuntut di Kolej Universiti Insaniah dan kemasukan pelajar baru di Kolej Universiti Insaniah pada Disember 2009 ialah seramai 500 pelajar dan ia menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 2,500 pelajar,” katanya.

Sasaran Kolej Universiti Insaniah pada tahun 2010, 2011 dan 2012 ialah seramai 1,500 pelajar di mana kampus tetap Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil untuk fasa pertama dijangka siap pada akhir tahun 2012 di mana kos pembinaannya ialah sebanyak RM350 juta.

Kolej Universiti Insaniah yang ada sekarang ini, katanya, akan dijadikan sebagai pusat pentadbiran negeri dan apa yang kita tahu ialah pelajar suka belajar di sini kerana sistem pengajaran yang diajar di sini amat baik sekali yang menerapkan amalan praktikal dan teori.

“Harapan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka belajar di sini adalah untuk memberi pendidikan secara formal dan tidak formal di mana setiap pelajar perlulah menghafal sebanyak lapan juzuk Al-Quran untuk mendapat BA,” jelasnya.

Di Kolej Universiti Insaniah, katanya, sebanyak 18 buah negara yang majoritinya terdiri daripada pelajar luar negara iaitu tiga dari Jerman, Kanada (satu), Amerika Syarikat (tiga), United Kingdom (satu), Thailand (243), Somalia (140), Kambodea (45), Singapura (14), Somalia (140), China (128) dan Indonesia (13).

Persidangan Antarabangsa yang bertajuk “Syariah dalam Perbankan Islam” akan diadakan pada tahun 2010 di Langkawi yang akan dibentangkan oleh pakar-pakar yang bertauliah dalam bidang perbankan Islam iaitu Dato’ Halim Ismail, Dato’ Ahmad Tajuddin dan Che Wan Rahim Wan Kamil.

“Kita akan mencari lebih ramai lagi tokoh-tokoh akademik dalam usaha menjayakan persidangan itu dan usaha kita menyebarkan ilmu dan ijazah di Kolej Universiti Insaniah,” tambahnya.

Profesor Dato’ Dr. Jamil Osman berkata, resepi utama Kolej Universiti Insaniah ialah mewujudkan anak-anak syarikat iaitu Insan Maya, Insan Fasih, Insan Finance dan satu lagi anak syarikat yang akan diwujudkan iaitu Insan Medik.

Jelasnya, Kolej Universiti Insaniah juga turut menawarkan master dalam bidang Dakwah, Undang-Undang Syariah dan Kejuruteraan.

“Kita juga ingin melahirkan lebih ramai pelajar yang berkebolehan dalam bidang Kejururawatan Islam,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan