Untuk Aljazira Tv klik webtv

Palsu bon PUNB RM19b: Dua diarah bela diri

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) dan bekas setiausaha perbadanan itu hari ini diperintah membela diri atas tuduhan memalsukan sijil bon PUNB bernilai RM19 bilion, sembilan tahun lalu.

Ahmadi @ Ahmad Zukni Johari, 68, dan Mohamad Aminuddin Md. Zain, 53, masing-masing diperintah memberi keterangan bela diri di Mahkamah Sesyen di sini mulai 9 November ini.

Dalam keputusannya, Hakim S. M. Komathy Suppiah menyatakan, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa bon yang dikeluarkan oleh kedua-dua tertuduh merupakan dokumen palsu dan dibuat secara tidak jujur.

Katanya, keterangan saksi pendakwaan juga menunjukkan bahawa bon tersebut dibuat dan ditandatangani oleh kedua-dua tertuduh di samping pengakuan mereka kepada Pengerusi PUNB, Tan Sri Abu Bakar Mohd. Noor.

Di samping itu, jelas beliau, bon tersebut dikeluarkan bukan mengikut kapasiti jawatan mereka tetapi sebagai bon perbadanan tersebut. Oleh yang demikian, ia sepatutnya merupakan dokumen syarikat.

''Seseorang pengawai tidak boleh bertindak sendirian seolah-olah mereka memiliki perbadanan tersebut dan sepatutnya bertindak mengikut kebenaran ahli lembaga pengarah,'' ujarnya.

Berikutan itu, menurut Komathy, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Ahmadi dan Mohamad Aminuddin dituduh melakukan pemalsuan ke atas suatu dokumen yang berupa satu cagaran berharga iaitu sijil bon PUNB yang bernilai AS$5 bilion (RM19 bilion).

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 13 Oktober 2000 di PUNB, Wisma UOA II, No. 21, Jalan Pinang, di sini.

Ahmadi turut menghadapi tuduhan pilihan memalsukan sijil tersebut secara berseorangan pada tarikh dan tempat yang sama manakala Mohamad Aminuddin dituduh bersubahat dengan Ahmadi melakukan perbuatan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan