KUALA LUMPUR, 21 Feb: Walaupun telah dijanjikan oleh
beberapa Perdana Menteri dan Menteri Wilayah Persekutuan yang silih
berganti semenjak tahun 1990, agenda pembangunan Kampung Baru masih
dilihat kabur.
"Semacam tidak ada satu kesungguhan dari pihak kerajaan untuk
membangunkan Kampung Baru ini. Semenjak dari zaman Dr Mahathir (1990)
hinggalah sekarang diperkatakan tentang pembangunan Kampung Baru tapi
tidak ada satu tindakan kerajaan yang menunjukkan usaha tersebut.
"Masalahnya
apabila Perdana Menteri bertukar, pergi lawat Kampung Baru dan
berjanji. Apabila menteri (Wilayah) tukar pergi lawat Kampung Baru (dan
berjanji)," kata Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor
Mohamad (gambar).
Beliau berkata, ketika Umno menjadi wakil rakyat di Titiwangsa,
pelbagai program termasuk perbincangan berkaitan pembangunan Kampung
Baru selalu melibatkan Ahli Parlimen Umno tersebut.
"Anehnya ketika Pakatan Rakyat menang, tidak ada peranan yang diberikan kepada ahli parlimen kita (Dr. Lo’ Lo’')," ujar beliau.
Katanya, dalam perancangan draf KL 2020 juga, pandangan penduduk diketepikan sedangkan ia melibatkan tanah penduduk tersebut.
"Kerajaan berkata rakyat didahulukan tetapi rakyat dikemudiankan (dan) menjadi mangsa kepada pembangunan ini," tambahnya.
Yang Dipertua PAS Kawasan Baru, Cikgu Ishak Surin yang merupakan
orang lama dalam PAS Wilayah Persekutuan pula berkata, sebenarnya
pembangunan Kampung Baru telah diwar-wakan sejak tahun 1974 lagi,
semasa beliau menjadi calon di Setapak.
Katanya, janji-janji untuk membangunkan Kampung Baru sering
ditaburkan apabila menjelang pilihan raya dan mesyuarat agung Umno
tetapi tidak ada hasilnya sehingga kini.
Walaupun persekitaran Kampung Baru telah lama dimajukan dan banyak
bangunan-bangunan yang telah wujud tetapi ia masih lagi seperti dahulu.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo’ sendiri pernah mencadangkan
suatu badan amanah diwujudkan bagi menguruskan Kampung Baru supaya
pengurusannya lebih telus dan tidak dipengaruhi oleh kepentingan
politik pihak tertentu.
Tanah yang luasnya kira-kira 103.5 hektar di tengah-tengah Kuala
Lumpur itu menjadi mercu tanda penduduk-penduduk Melayu yang berada di
tengah ibu kota.
Ketua Penerangan PAS Titiwangsa, Zamri Asad Khuzaimi pula berkata,
dalam tempoh tiga tahun, tidak kurang daripada tiga jenis pembangunan
yang dipromosikan di Kampung Baru.
"Antaranya ialah Draf KL 2020 yang sepatutnya telah bermula
sekarang. Walau bagai manapun rancangan ini belum pun diluluskan oleh
menteri dan Datuk Bandar.
"Projek Puncak Baru pula pernah diumumkan oleh bekas Perdana
Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 Mac 2001 lalu dan tidak
diketahui apa statusnya sekarang ini," katanya.
Beberapa hari lepas pula, katanya pembangunan komprehensif Kampung
Baru dengan peruntukan RM4 juta yang telah dijanjikan oleh Perdana
Menteri.
Beliau yang juga Pengerusi Juham turut mengatakan terdapat juga
percanggahan di antara kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Wilayah
Persekutuan dalam isu itu.
"Najib (PM) berkata penduduk tidak perlu pindah dan Raja Nong Chik
(menteri) pula berkata sebahagian penduduk perlu pindah," katanya.
Katanya, PAS Wilayah juga sangat tidak bersetuju undang-undang baru
yang dicadangkan oleh Raja Nong Chik mengenai pembangunan di Wilayah
Persekutuan.
Undang-undang itu, mengatakan bahawa semua penduduk dianggap
bersetuju sekiranya 80 peratus daripada keseluruhan penduduk bersetuju
dengan cadangan kerajaan dalam pembangunan tanah Wilayah Persekutuan.
"PAS memandang ini sebagai ugutan dan provokatif dari Menteri
Wilayah. Suatu yang tidak munasabah kerana dalam apa-apa jua
pembangunan, kaedah undang-undang adalah yang terakhir," katanya.
Katanya, kaedah pertama mesti perbincangan yang melibatkan penduduk,
Malay Agriculture Settlement (MAS), wakil rakyat, DBKL dan kerajaan.
PAS Wilayah Persekutuan turut menegaskan, semua kampung-kampung
warisan tanpa mengira bangsa di sekitar Kuala Lumpur mesti dikekalkan
dan pembangunannya juga mestilah memberi manfaat kepada penduduk tanpa
memindahkan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan