ALOR SETAR, 25 Feb: Desas-desus yang mengatakan
barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah akan dirombak sebelum ini sudah
pasti menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beberapa anggota Exco kemungkinan besar akan ditukar dan digugurkan.
"Adalah satu kebiasaan rombakan dibuat bagi memberi peluang kepada
Exco yang dilantik untuk mencuba kemahiran dan kepakaran dalam bidang
masing-masing. Namun begitu kita akan melihat kepada kesesuaiannya bagi
mendapatkan calon yang terbaik,” ujarnya.
Katanya, kuota pelantikan Exco mungkin kekal seperti sedia ada,iaitu tujuh daripada PAS dan selebihnya kepada PKR.
"Sudah dua tahun para Exco berkhidmat,maka eloklah jika diadakan
pembaharuan. Apa jua perubahan yang berlaku, akan dimaklumkan kepada
Tuanku Sultan terlebih dahulu.
“Manakala istiadat mengangkat sumpah jawatan dijangka akan diadakan
pada awal Mac yang akan datang. Ia turut melibatkan beberapa portfolio
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri," katanya.
Ketika ini Exco yang mewakili PAS ialah Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi,
Datuk Mohd Taulan Mat Rasul, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, Dr. Hamdan
Mohamed Khalib, Dr Ismail Salleh, Abdullah Jusoh, Ustazah Siti Aishah
Ghazali manakala daripada PKR ialah S.Manikumar, Lim Soo Nee dan Tan
Wei Shu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan