MELAKA, 23 Feb: Pensyarah universiti dan akhbar Utusan
Malaysia sepatutnya menggesa pemimpin Umno yang jelas disabitkan dengan
kesalahan rasuah digantikan terlebih dahulu daripada membuat gesaan itu
kepada Pakatan Rakyat (PR) supaya menggantikan Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab berkata, antara pemimpin
Umno yang telah disabitkan dengan kesalahan rasuah termasuk oleh parti
mereka sendiri seperti Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam
dan Adun Bagan Pinang, Tan Sri Isa Samad.
Ini, katanya kerana mereka telah didapati bersalah sedangkan Anwar belum dibuktikan bersalah.
“Ada pemimpin Umno yang 'melarikan' anak raja, membawa duit 'cash'
keluar negeri dengan banyak, rasuah, skandal, pernah bunuh orang dan
sebagainya tetapi masih mendapat tempat dalam Umno selepas melakukan
perkara tersebut tetapi mengapa Umno dan pimpinannya terus memberikan
kepercayaan kepada mereka itu pada suatu ketika dahulu,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan Utusan Malaysia
hari ini yang menyiarkan kenyataan Pensyarah Kolej Undang-Undang,
Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM),
Md. Shukri Shuib supaya pemimpin Pakatan Rakyat menggantikan Anwar
sebagai ketua.
Katanya, perkara itu perlu kerana Anwar memberi rekod paling buruk
kepada pakatan pembangkang dalam sejarah negara kerana belum pernah ada
mana-mana pemimpin sama ada Ketua Whip atau Ketua Pembangkang yang
menghadapi pertuduhan sebegitu di mahkamah.
Justeru katanya, pemimpin pembangkang perlu memilih sama ada
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Penasihat DAP, Lim Kit
Siang sebagai ketua mereka bagi menggantikan Anwar.
Bagi Sofi, kenyataan itu merupakan suatu kenyataan yang tidak
bertanggungjawab dan menghina mahkamah kerana Anwar belum dibuktikan
bersalah dan ramai pemerhati dalam dan luar negeri berpendapat kes itu
adalah konspirasi kedua terhadap Anwar sebagaimana konspirasi 1998 di
mana akhirnya Anwar dibuktikan tidak bersalah.
Tambahnya, Utusan adalah akhbar yang diperkudakan Umno untuk
mengelirukan rakyat terus istiqamah melakukan kerja terkutuk memporak
perandakan pemikiran rakyat supaya lebih bercelaru dan kacau.
“Tidak ada kerja lain selain melaga-laga, memfitnah, membohong dan
sebagainya. Tujuan hanya satu memecahbelahkan Pakatan Rakyat dan
memberikan gambaran buruk PR kepada rakyat,” ujarnya.
Menurutnya, Utusan sentiasa mencari sesiapa sahaja yang sanggup
membuat kenyataan akhbar sedemikian bagi mencapai hajat dan niatnya
memuaskan hati tuannya iaitu pemimpin Umno.
“Kadang-kadang professor kangkung dan sesiapa sahaja dikambinghitamkan untuk membuat kenyataan tersebut,” ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan