Sepanjang tempoh penutupan itu pengguna bas ekspres untuk destinasi ke selatan akan menggunakan depoh sementara di Jalan Hang Tuah di Kuala Lumpur untuk menaiki bas, manakala Hentian Duta pula digunakan bagi menempatkan bas-bas ekspres bagi perjalanan ke utara negara.
Bercakap kepada pemberita ketika ditemui semasa melawat tapak depoh bas ekspres sementara di Jalan Hang Tuah hari ini Raja Nong Chik berkata kajian terperinci masih dijalankan untuk menentukan tarikh sebenar bagi depoh bas ekspres sementara di Jalan Hang Tuah memulakan operasinya.
Raja Nong Chik berkata pihak pengurusan Puduraya, UDA Holdings Bhd dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah diarah supaya meneliti pelbagai aspek agar perubahan sementara selama empat bulan itu dapat berjalan lancar.
Sementara itu merujuk kepada depoh sementara bas ekspres di Jalan Hang Tuah itu beliau berkata kaunter-kaunter tiket serta ruang untuk gerai-gerai makanan kini sudah disediakan.
"Mereka (pengusaha makanan) yang setuju berpindah akan dipindahkan sementara tanpa bayaran apa-apa, lebih separuh dah setuju, yang separuh lagi ingin berehat empat bulan," katanya.
Depoh seluas 1.9 hektar bernilai kira-kira RM6 juta itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kaunter tiket, tempat makan, tempat mencuci bas, tempat rehat pemandu, surau, kafetaria dan pondok kawalan keluar masuk bas.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang meninjau Hentian Puduraya dua kali sebelum ini, iaitu pada 25 April dan 16 Sept lepas, baru-baru ini mengumumkan peruntukkan RM52 juta untuk mengubahsuai terminal bas Puduraya kepada hub pengangkutan moden.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan