Pakatan Rakyat telah bersetuju agar semua pertandingan dalam
pilihanraya negeri Sarawak yang akan datang adalah pertembungan satu
lawan satu antara Pakatan dengan BN.
Setiausaha agung PKR,
Saifuddin Nasution berkata, Pakatan telah mula membuat persiapan untuk
menghadapi pilihanraya negeri itu yang dijangka diadakan beberapa bulan
akan datang, kemungkinan antara bulan Jun dan Julai ini.
Pilihan
raya negeri Sarawak - yang terakhir berlangsung pada 2006 - mesti
diadakan dalam tempoh 16 bulan ini. Sarawak merupakan satu-satunya
negeri di Malaysia yang tidak mengadakan pilihanraya negeri serentak
dengan pilihanraya Parlimen.
Saifuddin berkata, strategi satu
lawan satu itu - yang telah menghasilkan kemenangan besar kepada
pembangkang dalam pilihanraya umum 2008 - akan digunakan dalam pilihan
raya negeri Sarawak kali ini.
"PKR, DAP dan PAS pada prinsipnya
telah bersetuju dengan pertandingan satu lawan satu dengan BN. Kita
pastinya berharap ia akan memberi impak yang besar kali ini," katanya
kepada Malaysiakini.
Tsunami politik pada 2008
menyaksikan lima negeri di Semenanjung jatuh ke tangan pembangkang
serta menafikan BN penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Sarawak
mempunyai 71 kerusi negeri, dengan 62 daripadanya dikuasai oleh BN.
Manakala DAp, Parti Cinta Malaysia yang baru ditubuhkan dan Bebas,
menang sembilan kerusi.
Pilihan raya umum 2008 telah menyaksikan
berlakunya beberapa pertandingan tiga penjuru yang membabitkan
parti-parti Pakatan di Sabah dan Sarawak.
Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang berkata, perkara itu telah dibincangkan oleh majlis presiden Pakatan pada hari Isnin.
Majlis
itu, kata beliau, seterusnya akan menumpukan kepada perbincangan
mengenai pilihan raya negeri Sarawak, khususnya mengenai strategi
pertandingan satu lawan satu, serta memanfaatkan jentera pilihan raya
bersama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan