KOTA BHARU, 18 Mac: Suruhanjaya Pilihan raya
Malaysia (SPR) memberitahu sejumlah 4.39 juta pengundi belum berdaftar,
sebaliknya menteri pula kata kerajaan tidak akan memaksa rakyat untuk
mengundi.
“Ini bermakna hanya SPR sahaja yang bersungguh-sungguh untuk
mendaftar pemilih belum berdaftar, sedangkan kerajaan tidak berminat
berbuat demikian.
“Mungkinkah ada sesuatu yang kerajaan cuba sembunyikan apabila
tuntutan rakyat dan parti-parti pembangkang supaya mengguna daftar
secara automatik tidak dihiraukan,” kata Setiausaha Jabatan Pilihan
Raya PAS Kelantan, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani.
Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul
Aziz dilaporkan memberitahu persidangan parlimen, kerajaan tidak
bercadang mengadakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik bagi
rakyat yang mencapai umur 21 tahun.
Sebaliknya, kata beliau kerajaan akan meneruskan dasar-dasar yang
sedia ada dan tidak akan memaksa rakyat melakukan perkara di luar
kerelaan mereka.
"Dalam pilihan raya, tak boleh paksa orang. Kita mengamalkan
kebebasan berpersatuan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Fong
Po Kuan (DAP-Batu Gajah).
Sedangkan sebelum ini Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
dilaporkan memberitahu SPR bercadang mendaftarkan pemilih secara
automatik bagi menjimatkan masa, kos dan mengurangkan birokrasi.
SPR juga dalam kenyataan menyebut sejumlah 4.39 juta pengundi atau
28 peratus dari jumlah pemilih yang layak tetapi belum mendaftar.
Pada pilihan raya umum Mac 2008, sebanyak 72 peratus atau 7,878,875
pemilih keluar mengundi daripada 10,922,139 jumlah pemilih yang
berdaftar di seluruh negara.
Mohd Khir yang juga Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali memberi
analogi mudah, mana lebih baik menangkap ayam dan dikurung dalam reban
sebelum disembelih atau menangkap ayam di luar kandang sebelum
dikorbankan.
“Kerajaan sudah ada jalan yang begitu mudah dan menjimatkan masa bagi mendaftar pengundi, namun kerajaan masih enggan melakukan.
“Ini menimbulkan satu persoalan. Kalau tidak ada agenda sulit yang
tidak diketahui umum, sudah tentu pendaftaran pengundi secara automatik
yang lebih telus dan menjimatkan wang kerajaan diterima pakai,” katanya.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yussof berkata, setiap
kali pengerusi baru SPR dilantik tentunya ada cadangan pembaharuan yang
cuba dibawa bagi mengelakkan badan itu daripada terus dikritik
pembangkang.
Katanya, begitu juga dengan apa yang berlaku terhadap Tan Sri Aziz,
beliau cuba untuk melakukan reformasi, namun kerajaan enggan
menerimanya.
“Ini bermakna kita terpaksa menunggu pengerusi baru SPR lain pula
untuk melihat ada ketelusan dalam sistem pengendalian pilihan raya di
negara ini.
“Mungkin juga kenyataan pengerusi SPR baru sekarang hanya sekadar
untuk meredakan kemarahan dan mengelakkan menjadi sasaran kritikan
pembangkang,” katanya.
Anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir berkata, kerajaan Barisan
Nasional ternyata takut dengan kehadiran pengundi muda sehingga
cadangan daftar automatik tidak dihiraukan kerajaan.
“BN takut tidak lagi dapat memanipulasi daftar pemilih kalau
dilakukan pendaftaran secara automatik. Itulah sebabnya kerajaan tolak
untuk leksanakan daftar itu,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi
Parti Keadilan Rakyat negeri.
Adun Gual Ipoh, Wan Yusoff Wan Mustapha berkata, kerajaan nampak
berminat membelanjakan lebih banyak wang untuk mengadakan kempen daftar
pemilih, sedangkan kaedah yang menjimatkan diketepikan.
“Penantian begitu lama rakyat untuk melihat pengendalian pilihan
raya berlaku secara benar-benar telus belum mampu menjadi kenyataan,”
Adun Pasir Tumbuh, Ahmad Baihaki Atiqullah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan