KUALA LUMPUR, 18 Mac: Ketua Penerangan PAS Pusat,
Ustaz Idris Ahmad mengucapkan tahniah kepada Orang Asli yang mengadakan
tunjuk perasaan di Putrajaya semalam kerana menuntut hak mereka yang
dicabul.
Katanya, penghormatan patut diberikan kepada mereka kerana
keberanian dan boleh mengumpulkan seramai 2,000 orang adalah merupakan
suatu perkara yang menakjubkan semua pihak.
Perhimpunan semalam dianjurkan bersama Persatuan Orang Asli
Semenanjung Malaysia (POASM) dan juga Jaringan Kampung Orang Asli Perak
untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri.
Memorandum tersebut turut menuntut supaya dasar pemberimilikan
dimansuhkan dan hak wilayah adat Orang Asli hendalah diwartakan sebagai
rizab Orang Asli.
Turut dikepilkan dalam memorandum berkenaan ialah cadangan pindaan
Akta Orang Asli (Akta 134) yang dikemukakan Persatuan Orang Asli
Semenanjung Malaysia.
“Nampaknya Orang Asli lebih sensitif dalam mempertahankan hak
mereka yang dicabul oleh kerajaaan BN,” ujar Idris dalam satu kenyataan
kepada Harakahdaily.
Ini, katanya walaupun Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah,
Datuk Seri Shafie Apdal ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan
itu berkata: Mereka datang bukan untuk protes tetapi untuk
berjalan-jalan melawat Putrajaya dan kita juga bagi mereka makan-makan.
Katanya, kejayaan Orang Asli yang mengumpulkan hampir 2,000 orang ke Putrajaya satu perkembangan yang baik.
“Ini bermakna kesedaran politik yang dilaungkan oleh pimpinan
Pakatan Rakyat selama ini sudah mendasari hingga ke akar umbi, seperti
Orang Asli sudah berani menuntut hak mereka melalui jalan raya,”
ujarnya.
Selama ini, katanya Orang Asli hanya menjadi pemerhati dari jauh
dan dilihat oleh pemimpin BN sentiasa menyokong tindakan kerajaan.
“Hari ini mereka telah melakarkan sejarah kebangkitan rakyat dan
sebagai mercu tanda perubahan politik pada masa akan datang insya
Allah,” ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan