Oleh: AMELIA HASHIM
ALOR SETAR - Sebuah Jawatankuasa yang dipengerusikan Pegawai Kewangan Negeri YB Dato’ Haji Mohd Puat Haji Mohd Ali telah dibentuk bagi mengkaji perkembangan anak-anak syarikat kerajaan negeri atau GLC (Government Link Company) di Kedah.
Ini berikutan terdapat beberapa GLC yang lemah dan tidak berupaya maju, kata Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini.
“Kita sudah berbincang mengenai penilaian GLC di Kedah, ada yang baik, ada yang sederhana dan ada yang lemah masih bergantung sepenuhnya kepada kerajaan, dalam satu perjumpaan khas dengan semua anak syarikat,” katanya.
Di Kedah terdapat 120 GLC dan dari jumlah ini terdapat GLC yang tahap penilaiannya terlampau rendah, bercanggah dengan prinsip pengurusan perniagaan serta tidak ikut peraturan undang-undang iaitu terkeluar dari Akta Syarikat.
“Kadang-kadang GLC yang lemah ini tidak sampai sasaran dan saya terpaksa kaji balik untuk melakukan penyusunan semula,” ujarnya.
Untuk tujuan ini mesyuarat Exco telah setuju menubuhkan Jawatankuasa atau panel bagi pihak Kerajaan Negeri untuk mengkaji anak syarikat berkenaan. Ahli-ahli panel ini termasuklah Penasihat Undang-Undang Negeri YB Tuan Anas Ahmad Zakie dan bekas Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Wira Syed Zain Syed Abdullah.
Jawatankuasa ini akan melakukan kajian dengan pergi kepada GLC induk untuk mengenalpasti punca kelemahan anak syarikat di bawahnya bagi tujuan penambahbaikan.
“Kita tengoklah. Kita tubuh jawatankuasa menyiasat dan mengkaji tentang baik pulih. Kalau kita nampak benda tu dah tak elok mungkin kita akan berhentikan atau kita betulkan,” katanya.
Sehubungan itu katanya, syarikat-syarikat ini bukan bermasalah tetapi tidak boleh bergerak tanpa suntikan subsidi dari kerajaan.
“Ini seperti menanam pokok durian yang bertahun-tahun tetapi tidak berbuah. Hendak tebang takut tahun depan dia berbuah. Kalau tak berbuah kita rugi terpaksa keluarkan modal menyediakan baja dan sebagainya,” katanya.
Sejak memerintah hampir dua tahun kerajaan tidak wujudkan GLC baru tetapi meneruskan GLC yang sedia ada. Ini kerana kerajaan terikat dengan perjanjian dan sambung labialiti ikut peraturan terdahulu.
“Kita tak mau meletup baru nak cari jalan keluar. Ini bukan masalah dalaman Kedah, kita tak tubuh GLC baru kita teruskan syarikat dulu. Kita terikat dengan perjanjian yang mereka buat. Sambung lagi labialiti yang depa buat dulu. Kalau terus teruk kita cuba selaraskan,” katanya.
Menurutnya, GLC ini terlibat dalam pelbagai perniagaan termasuklah projek-projek besar. Kajian ini juga akan mengaitkan pengalaman modal, amanah rakyat dan perkembangan ekonomi dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan