Oleh: AMELIA HASHIM
ANAK BUKIT – Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak memuji stesen TV3 kerana membuat kajian sebelum menyiarkan berita mengenai pengambilan tanah di Jalan Langgar ke Pokok Sena bagi projek Trans Eastern Kedah Hinterland Durian Burung.
Ia berbeza dengan laporan TV1 yang mengatakan Kerajaan Negeri Kedah baru dua tahun memerintah sudah merampas tanah rakyat.
“Saya tengok berita TV1 di rumah kemudian ke Seri Mentaloon dan tengok pula berita TV3. Kedua-dua stesen telivisyen ini dipancarkan siarannya ke seluruh negara. Oleh itu berita yang disiarkan biarlah benar dan tepat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah di Istana Anak Bukit baru-baru ini.
Katanya, selepas menonton siaran berita itu beliau terus menghubungi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mendapatkan kepastian. Menteri Besar itu kemudiannya dimaklumkan bahawa projek tersebut di bawah kerajaan pusat dibuat oleh JKR dan pengambilan tanah-tanah yang terlibat diberi pampasan melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
Pihak JKR memaklumkan pampasan telah diberikan kepada pemilik tanah yang terlibat dan individu yang mendirikan kediaman atau kedai di atas tanah kerajaan diberi wang sagu hati supaya berpindah.
Beliau juga dimaklumkan mereka ini tidak mahu menerima wang saguhati dan menuntut wang pampasan seperti pemilik tanah berkenaan.
“Kalau itu tanah orang kita ambil, kita bagi pampasan. Kalau tanah itu tanah kerajaan orang buat rumah atau kedai atas tanah kerajaan kita bagi saguhati kepada orang itu. Sepanjang jalan ke Pokok Sena dari Langgar ada sikit saja rumah yang terkena. Saya hubungi JKR dia kata rumah-rumah itu dibina atas bahu jalan, tanah simpanan (reserve) jalan. Kerajaan bagi saguhati dia tak mahu ambil dia nak tuntut pampasan seperti tuan tanah. RTM buat berita tak kaji. TV3 siar JKR kata tanah itu atas bahu jalan. Terima kasih TV3! Terima kasih juga kepada RTM kerana orang tahu dia bohong,” katanya.
Sekiranya pemilik tanah yang terlibat tidak berpuas hati mereka boleh buat rayuan di PTG. Ini kerana projek itu dilaksanakan oleh kerajaan pusat ketika Tun Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri.
Projek Trans Eastern Hinterland ialah projek lebuhraya yang menghubungkan Daerah Baling dengan Durian Burung di sempadan Thailand dalam Daerah Padang Terap yang dikenali sebagai Kota Putra.
Pintu masuk ini menempatkan sebuah Kompleks Imigresen dan Kem Sahara dari Rejimen Alteleri Diraja turut dibangunkan bersama Bandar Sempadan Kota Putra yang berkonsepkan Agro-Pelancongan dan pertanian berskala besar serta komersil sekaligus mewujudkan bandar sempadan kedua di negeri ini selepas Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam.
Projek ini adalah sebahagian pelan struktur Daerah Padang Terap 2002-2012 yang dijangka menjadi mercu pembangunan itu.
Kota Putra telah diwartakan oleh Kementerian Dalam Negeri sebagai Pos Kawalan Imigresen dan Pintu Masuk yang dibenarkan bagi maksud kemasukan ke Malaysia yang menyambungkan Kota Putra dengan Ban Pra-Korb di Thailand. Ianya merupakan projek Joint Development Strategy Malaysia-Thailand.
Pintu sempadan ini dibuka setiap hari dari jam 8.00 pagi hinga 6.00 petang mulai 20 Januari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan