KUALA LUMPUR, 26 Mac: Naib Presiden Parti Keadilan
Rakyat (PKR), Sivarasa Rasiah hari ini dipanggil memberi keterangan
mengenai laporan polis yang dibuatpada 24 Mac lalu terhadap Ketua Polis
Negara Tan Sri Musa Hassan yang didakwa membuat kenyataan palsu dalam
prosiding Mahkamah.
Beliau hadir jam 3.00 petang tadi memberi keterangan hampir satu jam di ibu pejabat polis IPD Dang Wangi.
"Mereka minta bukti saya ada untuk menunjukkan bahawa Tan Sri Musa Hassan telah membuat kenyataan palsu dalam mahkamah.
"Saya sebut saya lampirkan dalam laporan polis saya, saya kepilkan nota prosiding mahkamah.
"Ini
bukan cerita dengar cakap, saya dapat bukti kukuh berdasar nota
prosiding yang ditaip di mahkamah", katanya ketika ditemui pemberita
selepas itu.
Rabu lalu, Siva membuat satu laporan polis terhadap
Musa Hassan yang didakwa memberikan pengakuan palsu berhubung
kelayakannya pada perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada
tahun 1998.
Menurut Sivarasa, semasa kes perbicaraan Anwar pada
tahun 1998 di mana Musa Hassan sebagai Pegawai Siasatan, beliau
menyatakan di depan Hakim Augustine Paul dengan mengatakan beliau
mempunyai ijazah apabila disoal oleh peguam Christopher Fernando.
Tetapi
ujarnya, semasa perbicaraan rasuah bekas Pengarah Jabatan Siasatan
Jenayah Komersil, Datuk Ramli Yusuff di Mahkamah Sesyen Sabah, Musa
dalam prosiding kehakiman memberitahu beliau mempunyai diploma
undang-undang dan kajian pengurusan.
Pada masa yang sama, beliau
juga turut mengesyorkan kepada kerajaan supaya menghentikan tempoh
perkhidmatan ketua polis negara itu.
Baginya, Musa sebagai pegawai tinggi kerajaan sudah hilang integriti dan kredibiliti apabila melakukan pembohongan di mahkamah.
"Sekarang ini bukan isu dia ada diploma atau ijazah, isunya dia berbohong di mahkamah.
"Kalau nak tahu dia ada diploma atau ijazah, baik tanya dia sendiri," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan